Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.02.07

Selangor 1 Perlis 0 (Piala Malaysia)

 

Juara bertahan Perlis menerima tamparan hebat dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia apabila tewas 1-0 kepada barisan serba pincang Selangor dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam ini.

Mohd Amri Yahyah menjadi wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke 55 untuk mengukuhkan kedudukan Selangor di tangga teratas liga dengan 9 mata dari 3 perlawanan.

Terdahulu Selangor menewaskan Johor Pasir Gudang (2-0) di tempat lawan dan Kuala Lumpur (2-1) di tempat sendiri.

Pasukan Singa Utara turun dengan kesebelasan terkuat namun skuad muda Gergasi Merah lebih menyerlah dengan menguasai permainan.

Selangor bermain tanpa pemain import dan turun tanpa 5 pemain tunggak - Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali dan D. Surendran yang mengalami kecederaan serta Safiq Rahim dan Amirul Hadi Zainal yang dipanggil mewakili skuad pra-olimpik negara.

Namun, ini tidak menghalang Selangor yang menyerang sebaik sahaja wisel dibunyikan lantas memaksa Perlis berkampung di kawasan sendiri. Tuan rumah mempunyai sekurang-kurangnya 3 peluang keemasan untuk mendahului di babak pertama namun gagal disudahkan.

Fadzli Saari mempunyai peluang terbaik apabile menerima hantaran rendah dari Shukor Adan namun sepakan jarak dekatnya berjaya diselamatkan penjaga gol Perlis Tay Sin Kiat pada minit ke 4.

Kesungguhan Selangor akhirnya membuahkan hasil apabila Amri menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-55.

Pertahanan Perlis yang dikemudi Kabwe Kamuzati dan Azizi Mat Rose menghadapi kesukaran mempertahankan gol mereka apabila diasak bertubi-tubi oleh barisan serangan Selangor.

Perlis, yang merupakan pendahulu Liga Super mempamerkan aksi mengecewakan. Walaupun mempunyai Phillimon Chepita dan Francis Kombe dari Zambia di barisan serangan, namun masih gagal menembusi kubu tuan rumah yang dikawal Mohd Zaiza Zainal Abidin dan Razlan Joffri.

Kombe mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan lewat perlawanan namun sepakannya berjaya dihalang penjaga gol Selangor, Mohd Anis Faron.

Selangor: Mohd Anis Faron, Mohd Zaiza Zainal Abidin, Razman Roslan, Mohd Fadhil Hashim, Mohd Fazilidin Khalid, Razlan Joffri (S. Sritharan), Mohd Nasriq Baharom, P. Gunalan, Mohd Amri Yahyah, Fadzli Saari, Mohd Shukor Adan.

Perlis: Tay Sin Kiat, Mohd Reithaudin Emran, Fauzie Nan, Kabwe Kamuzati, Azlan Ismail, Mohd Hardi Ahmad, Philimon Chepita, Azizi Mat Rose, Francis Kombe, Mohd Nazaruddin Zain, Mohd Redzuan Othman.