Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
15.02.07

Selangor kecundang di Shah Alam

Oleh: Zairee Zahir, Berita Harian

ANGKA lima membawa makna berbeza buat Selangor dan Kedah di Stadium Shah Alam malam tadi. Ketika Selangor berduka ditimpa kekalahan kelima, Kedah pula bergembira meraih kemenangan kelima, 2-0 dalam aksi Liga Super setakat ini.

Anak buah Dollah Salleh ibarat hilang punca angkara jentera serangan tiada sengat ketika barisan pimpinan Azraai Khor Abdullah pula bijak memanfaat peluang untuk mencipta gol pada setiap babak.

Dari awal, Kedah yang menggunakan kepantasan larian K Soley dan Badrul Bakhtiar, tampak lebih berbahaya pada awal permainan.

Selepas amaran awal menerusi tandukan Marlon Alex James ditepis penjaga gol, Megat Amir Faisal, kira-kira 2,000 penyokong Selangor tergamam apabila Fauzi Shaari merembat kencang menewaskan Megat Amir daripada luar kawasan penalti pada minit kesembilan.

Dengan Selangor hanya mengharapkan Amri Yahyah di depan, ketika Fadzli Shaari dan Shukor Adan gagal menjana jentera tengah dengan baik, tiada cubaan berbahaya mampu dihadirkan tuan rumah.

Sebaliknya Kedah terus bermaharajalela tetapi kurang bernasib baik apabila rembatan kaki kiri Badrul tersasar pada minit ke-26 manakala dua cubaan berbahaya James gagal menewaskan Megat Amir pada minit ke-31 dan ke-32.

Penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid jelas tidak diuji pada babak pertama kerana kegagalan jentera serangan Selangor untuk menembusi benteng ditunjangi dua bek kental, Victor Andrag dan Bennard Hugging.

Rentak permainan masih sama sebaik babak kedua bersambung tetapi Selangor mula mengancam hasil kemasukan Mohd Fadzilidin Khalid yang menggantikan Abdul Hadi Yahya.

Namun Kedah sepatutnya menambah jaringan apabila James yang dapat melepasi kekangan Mohd Nasriq Baharom melihat rembatannya ditepis Megat Amir pada minit ke-53.

Sama seperti babak pertama, permainan Selangor merudum selepas dua ancaman, satu menerusi Mohd Asrarudin yang merembat tinggi umpanan Shukor daripada jarak dekat pada minit ke-65 dan yang kedua apabila Amri memilih sepakan gunting yang tidak berbahaya pada minit ke-67.

Kedah sebaliknya bergembira dengan gol kedua menerusi Hasmawi Hassan apabila menyudahkan umpanan silang dengan rembatan leret pada minit ke-75.

(Zairee Zahir, Berita Harian 15 Februari 2007)