Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.03.07

Akmal anggap gol terpenting buatnya

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

JARINGAN pertama Akmal Rizal Ahmad Rakhli buat Selangor kelmarin gagal membantu pasukan barunya itu melakar kemenangan bertemu TMFC, namun bagi Akmal ia adalah gol penting yang mampu mengembalikan keyakinan dirinya untuk terus menjaringkan gol musim ini selepas pulih sepenuhnya dari kecederaan lutut yang serius.

“Bagi saya ia adalah jaringan penting bagi membina semula keyakinan selepas berehat sekian lama dan aksi malam ini adalah aksi 90 minit kedua selepas pertemuan dengan Pahang dalam Liga Super,” kata Akmal.

Aksi Akmal ketika bertemu TMFC turut disaksikan jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar yang pasti mahu menilai kemampuan bekas pemain Kedah dan pelatih kelab Strasbourg itu masih mempunyai sentuhan berbisa di depan gawang.

Namun Akmal, menegaskan dia terlebih dulu mahu mengembalikan kecergasan dalam saingan Liga Super sebelum kembali memburu tempat dalam skuad kebangsaan.

“Memang saya rindukan aksi bersama skuad kebangsaan, tetapi sudah pasti saya harus membuktikan dulu saya di tahap terbaik bersama Selangor untuk menarik perhatian jurulatih kebangsaan,” katanya.

Bagi jurulatih Selangor Dollah Salleh, Akmal kini menghampiri tahap permainan terbaiknya dan walaupun berehat panjang, bekas penyerang utama skuad kebangsaan itu disifatkannya masih mempunyai sentuhan berkualiti berbanding penyerang tempatan lain.

“Dia memang mempunyai sentuhan yang tiada pada penyerang lain, hantarannya yang cantik serta rembatan sambil berlari yang cukup berkualiti.

“Tahap kecergasannya juga semakin baik, dan saya rasa dalam sedikit masa penyokong Selangor dan peminat bola sepak negara akan kembali menyaksikan aksi terbaik Akmal bersama kami,” kata Dollah.

Dollah ketika ini turut menanti kemunculan sulung bekas penyerang Kuala Lumpur dan Sarawak, Safee Sali yang semakin pulih dari kecederaan lututnya.

Gandingan Safee dan Akmal pernah membantu skuad Olimpik kebangsaan di bawah pimpinan Allan Harris mengikat China 1-1 di Beijing pada pusingan kelayakan Olimpik 2004.