Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.03.07

Akmal puji sentuhan Safee Sali

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

GANDINGAN Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Safee Sali di barisan serangan Selangor ketika bertemu Pahang kelmarin pasti mengembalikan ingatan kepada kejayaan skuad Olimpik kebangsaan seri 1-1 dengan China pada pusingan kelayakan Olimpik 2004.

Bagi Akmal Rizal, gerakan satu dua bersama Safee ketika menghasilkan gol kedua kelmarin mirip dengan cara gol penyamaan yang dijaringkan ketika menafikan kemenangan China di Guangzhou, tiga tahun lalu.

“Persefahaman antara saya dan Safee memang sudah lama terbentuk, kami memang memahami corak permainan masing-masing.

“Saya berasa gembira dengan kehadiran Safee kerana sekarang kami mempunyai ramai penyerang dan setiap pemain harus mempamerkan aksi terbaik bagi memikat hati jurulatih (Dollah Salleh), ” kata Akmal.

Dua gol jaringannya kelmarin membolehkan Akmal Rizal mengumpulkan tiga gol dalam dua perlawanan bersama Selangor.

Bagi Akmal, dia berharap akan terus menjadi penjaring gol utama Selangor bagi membolehkannya kembali merebut tempat dalam skuad kebangsaan.

“Harapan saya sudah pasti mahu kembali ke skuad kebangsaan. Memang menjadi impian setiap pemain termasuk saya sendiri beraksi untuk negara dalam kejohanan besar seperti Piala Asia lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, ” kata Akmal.

Sementara itu, Safee menegaskan dia masih memerlukan dua atau tiga lagi perlawanan bagi mencapai tahap kecergasan terbaik untuk beraksi selama 90 minit.

Safee sebelum ini mengalami kecederaan lutut yang serius ketika bersama Sarawak yang memaksanya berehat selama tujuh bulan.

“Saya gembira akhirnya dapat kembali beraksi, tetapi saya harus bekerja keras bagi mencapai tahap kecergasan terbaik.

“Hari ini (kelmarin) pun, saya berasa letih walaupun hanya beraksi selama 10 minit saja, ” kata Safee.

(Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian 26 Mac 2007)