25.03.07
Akmal Rizal buktikan masih punya sengat
Oleh: Fiesal Othman, Berita Harian
BEKAS penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli membuktikan dia masih antara penyerang terbaik negara dengan dua gol jaringannya membantu Selangor menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Kedua-dua pasukan memulakan saingan dengan saling berbalas serangan, pemain tengah Selangor, Fazilidin Khalid memperoleh dua peluang untuk meletak tuan rumah di depan seawal lima minit pertama perlawanan namun rembatannya dari jarak dekat pada minit kedua dan kelima sekadar melewati palang.
Pahang turut berpeluang membuka jaringan pada minit ketiga menerusi V Saravanan tetapi tandukannya hasil satu hantaran lintang juga tersasar.
Namun selepas percubaan itu, Selangor yang lebih menguasai saingan dengan beberapa siri percubaan berbahaya tetapi kegopohan menyaksikan sekurang-kurangnya tiga peluang keemasan disia-siakan.
Muhd Amri Yahyah memperoleh peluang terbaik tuan rumah di separuh masa pertama pada minit ke-20 berpunca daripada hantaran silang P Gunalan yang gagal dikeluarkan pertahanan Pahang, namun Amri melepaskan rembatan yang melepasi palang gol Pahang.
Babak kedua akhirnya menyaksikan dominasi Selangor membolehkan gawang pelawat dibolosi pada minit ke-63, menerusi rembatan Akmal Rizal yang berpunca daripada hantaran cantik Fazilidin.
Gol itu juga adalah jaringan kedua berturut-turut Akmal dalam dua perlawanan bersama Selangor.
Seminit selepas jaringan Selangor, jurulatih Pahang, Ahmad Yusof mengeluarkan Saravanan dan memasukkan penyerang muda, Mohd Kamal Rodiarjat dalam usaha menajamkan bahagian serangan pasukannya, namun kemasukan pemain muda itu masih gagal membantu pelawat mencari gol penyamaan.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh seakan yakin mampu mencatat kemenangan dengan gol tunggal jaringan Akmal apabila memasukkan Safee Sali yang baru pulih dari kecederaan lututnya untuk aksi pertama bersama Selangor ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Tindakan berani Dollah membuahkan hasil apabila Akmal memulakan gerakan satu dua bersama Safee sebelum merembat kencang dalam kawasan penalti menewaskan penjaga gol Pahang Md Remezy Che Ros untuk gol kedua pada minit ke-90 bagi memastikan kemenangan Selangor.
(Fiesal Othman, Berita Harian 25 Mac 2007)