19.03.07
Merah Kuning salahkan kealpaan Anis
Oleh: Berita Harian
KEALPAAN penjaga gol Selangor, Mohd Anis Faron melepaskan gol mudah ketika bertemu TMFC dalam saingan Piala Malaysia kelmarin disifatkan jurulatih Selangor Dollah Salleh sebagai punca utama kekalahan pasukannya.
Dollah yang berang dengan kesilapan Anis, tidak menolak kemungkinan untuk kembali memberi tanggungjawab penjaga gol utama kepada Megat Amir Faisal untuk perlawanan selepas ini.
“Ini adalah kali kedua Anis melepaskan gol mudah yang menafikan peluang Selangor meraih kemenangan. Dia turut melepaskan gol mudah ketika bertemu Johor FC.
“Gol kedua yang dijaringkan TMFC sepatutnya mampu dielakkan dan kemungkinan Selangor mampu sekurang-kurangnya meraih satu mata,” kata Dollah dengan nada kecewa.
Dollah turut mengakui mempunyai masalah dengan barisan pertahanan kerana kecederaan yang dialami dua tonggak Abdul Ghani Rahman dan Fadzirul Zakaria.
“Saya tidak nafikan barisan pertahanan sedikit keletihan malam ini, tetapi mereka tetap mempamerkan kesungguhan dan saya tidak mempunyai banyak pilihan di barisan pertahanan dengan kecederaan Ghani dan Fadzirul,” kata Dollah.
Kekalahan 2-1 kepada TMFC adalah kekalahan pertama Selangor dalam saingan kumpulan A Piala Malaysia, namun skuad Merah Kuning masih mengungguli kumpulan dengan 10 mata tetapi hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan dengan pasukan di tangga kedua Johor-Pasir Gudang.
Sementara itu, jurulatih TMFC Wan Jamak Wan Hassan walaupun gembira dengan kemenangan 2-1 ke atas Selangor, tetap tidak berpuas hati dengan tahap permainan penyerang import dari Korea Selatan, Yun Woon-chul.
(Berita Harian 19 Mac 2007)