11.03.07
Perlis kembali tunjuk taring di Shah Alam
Oleh: Azidan Nahar, Berita Harian
BADI lima perlawanan tanpa kemenangan buat Perlis akhirnya berakhir selepas kemenangan tipis 1-0 mengatasi Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi ketika jelas terpapar cerita betapa tuan rumah pula kelihatan sukar menjelmakan prestasi baik sebagaimana ditonjolkan dalam kempen Piala Malaysia.
Aksi serang menyerang menjadi penyeri babak pertama dengan pemain sayap kedua pasukan sering melakukan larian pantas mencari kelebihan awal.
Perlis yang tewas dalam empat perlawanan terakhir termasuk satu dalam Piala Malaysia terlebih dulu mencuba menerusi sepakan deras Azlan Ismail pada minit ke-12 yang ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Mohd Anis Faron.
Selang empat minit selepas itu tiba giliran Selangor membalas apabila sepakan percuma D Surendran ditepis penjaga gol Perlis, Tay Sin Keat.
Namun, pasukan pelawat akhirnya berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan menerusi rembatan kencang Mohd Redzuan Othman pada minit ke-20 yang berpunca dari sepakan sudut yang gagal dikeluarkan pertahanan tuan rumah.
Tersentak dengan gol babak pertama, minit-minit awal separuh masa kedua menyaksikan skuad Merah Kuning menggandakan asakan tetapi pertahanan Singa Utara yang dikemudi Kabwe Kamuzati terus kebal.
Peluang terbaik Selangor menyusul pada minit ke-50 apabila bola hantaran silang D Surendran dari sebelah kanan kawasan Perlis menemui penyerang, Mohd Fadzli Shaari namun tampanan pemain berkenaan sempat diselamatkan Sin Keat berhampiran garisan gol.
Kemasukan Safiq Rahim pada minit ke-59 menggantikan Amirul Hadi Zainal menambah bisa serangan anak buah Dollah Salleh walaupun mereka terus kebuntuan jaringan dalam permainan terbuka kedua pasukan.
Tekanan tampak memberi kesan buat Selangor dengan Dollah mengambil langkah berani memasukkan penyerang tersohor yang bukan dalam prestasi terbaik Akmal Rizal Ahmad Rakhli bagi sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata ketika perlawanan berbaki 20 minit.
Gandingan Akmal, Muhd Amri Yahyah dan Fadzli sering mengancam kubu pelawat namun masih gagal menjumpai tindakan penyudah berkesan mencari gol penyamaan pada babak kedua.
Perlis yang kehilangan penyerang utama Philimon Chipeta akibat kecederaan pada babak terakhir terus bertahan dengan asakan bertali arus tuan rumah di minit-minit akhir babak kedua sambil pujian juga harus diberikan kepada Sin Keat yang bertindak cemerlang mempertahankan gawangnya.
Usaha berterusan Perlis akhirnya membuahkan hasil apabila pengadil Sew Tian Hu menamatkan perlawanan lantas memberi tiga mata berharga buat Perlis.
(Azidan Nahar, Berita Harian 11 Mac 2007)