04.03.07
Prestasi yo-yo resahkan Selangor, Melaka
Oleh: Hamdan Saaid, Berita Harian
DUA pasukan – Melaka dan Selangor – mengalami nasib yang agak sama berjaya dengan cemerlang dalam pertandingan Piala Malaysia tetapi prestasi mereka terumbang-ambing tanpa kestabilan dalam saingan Liga Super.
Melaka mengekalkan rekod 100 peratus selepas empat perlawanan Piala Malaysia, terbaru menundukkan Tentera 4-2 di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin manakala rekod Selangor, yang menang ketiga-tiga perlawanan awal, sedikit tercalar apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor FC di gelanggang lawan.
Kedua-dua jurulatih, E Elavarasan bagi Melaka dan Dollah Salleh bagi Selangor, pastinya mendoakan persembahan yang lebih mantap daripada anak buah masing-masing apabila kempen Liga Super bersambung minggu ini.
Melaka menghuni tangga kedua tercorot dalam Liga Super yang mempunyai 13 pasukan manakala Selangor di tangga kelapan.
“Memang rekod kami dalam Piala Malaysia agak membanggakan kerana menang semua empat perlawanan setakat ini walaupun ia belum menjamin tempat ke suku akhir kerana perjalanan masih jauh. Namun saya agak terkilan kerana kedudukan kami dalam Liga Super amat goyah dan tidak stabil.
“Kami bermula dengan buruk dalam Liga Super dan kini sukar untuk mengejar pasukan lain. Namun saya berharap persembahan baik dalam Piala Malaysia akan menjadi dorongan untuk beraksi dengan lebih bagus dalam Liga Super. Harapnya kedudukan dalam Liga Super dapat diperbaiki,” kata Elavarasan.
Namun Elavarasan menyedari rintangan besar yang bakal dihadapi Sabtu ini apabila mereka berkunjung ke Alor Setar untuk bertemu Kedah, pasukan yang semakin mempamerkan taringnya dan kini menduduki tangga ketiga di belakang pendahulu DPMMFC dari Brunei dan Perlis.
Bagi Dollah, beliau yakin kehebatan persembahan anak buahnya dalam Piala Malaysia mampu diterjemahkan pula bagi saingan Liga Super walaupun menyedari halangan menanti di Shah Alam Sabtu ini bukan calang-calang pasukan, Perlis.
“Saya tetap bangga dengan persembahan pemain kerana sekalipun kami beraksi dengan 10 orang (Zaiza Zainal Abidin dibuang padang pada minit ke-50) mereka mampu memberi cabaran kepada lawan. Cuma benteng pertahanan yang cuai pada lewat babak pertama sedikit mengecewakan.
“Malah kami sebenarnya kurang bernasib baik gagal menjaringkan gol kemenangan pada awal babak kedua jika tidak kerana ketangkasan penjaga gol lawan (Yusof Ishak) yang menyelamatkan tiga percubaan bertubi-tubi,” katanya.
Juara bertahan Perlis, yang kalah kepada Selangor 1-0 dalam aksi Piala Malaysia baru-baru ini, harus lega kerana sekalipun gagal mengutip tiga mata penuh apabila seri 2-2 dengan Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya mereka kembali bangkit daripada pencapaian buruk kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Selangor kini mengungguli Kumpulan A pertandingan Piala Malaysia dengan 10 mata, Melaka dalam Kumpulan B dengan 12 mata maksimum manakala Kumpulan C menyaksikan Sabah bermaharajalela dengan 10 mata.
(Hamdan Saaid, Berita Harian 4 Mac 2007)