Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.03.07

Selangor kekal berkuasa

Oleh: Rizar Md Noor, Berita Harian

JOHOR FC gagal mencalar rekod tanpa kalah Selangor apabila sekadar seri 1-1 dalam saingan bola sepak Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam tadi.

Walaupun Selangor yang dilihat mampu mencipta kemenangan selepas Fadzli Saari menjaringkan gol pada awal babak pertama, namun sepakan percuma pemain tengah skuad Lebah, Saiful Sabtu di penghujung babak itu menyaksikan kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan satu mata.

Seawal minit ketiga, Selangor yang memperoleh sepakan percuma hampir mencemaskan gawang skuad bimbingan Ramlan Rashid apabila sepakan lencong Razman Roslan sempat dikuis keluar penjaga gol tuan rumah, Yusof Ishak.

Percubaan itu nyata menambah nafsu skuad Merah Kuning apabila mengatur serangan pantas untuk menghasilkan gol pada minit ketujuh berpunca daripada sepakan lintang Razman tepat kepada Fadzli yang melakukan rembatan terus menewaskan Yusof.

Tersentak dengan gol itu, Johor FC cuba mengatur strategi untuk menggempur gawang Selangor menerusi gerakan pantas namun benteng pertahanan pasukan pelawat tampak sukar diatasi.

Namun tiga minit sebelum babak pertama berakhir, Johor FC bangkit untuk menyamakan jaringan menerusi sepakan percuma Saiful selepas Nurul Azwan Roya dikasari pertahanan pelawat menyaksikan penjaga gol Anis Faron Arsidi tergamam melihat bola menerjah jaring.

Tatkala aksi babak kedua bersambung skuad kendalian Dollah Salleh menerima tamparan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Zaiza Zainal Abidin dilayangkan kad merah pada minit ke-50 oleh pengadil Yusoff Mat Karim selepas mengutip kad kuning kedua berikutan kekasaran ke atas Nurul Azwan.

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, namun ia tidak menghalang pelawat untuk meneruskan usaha mencari kemenangan bagi mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan dalam saingan piala berprestij itu.

Berpunca daripada kekalutan di depan gol lawan pada minit ke-53, Selangor sepatutnya mencipta gol namun ketangkasan Yusof menyelamat gawang daripada dibolosi apabila menidakkan hampir tiga percubaan pasukan pelawat sekali gus menyelamatkan tuan rumah daripada tewas di laman sendiri.

(Rizar Md Noor, Berita Harian 3 Mac 2007)