20.05.07
Adney tangguh hajat ke Hartlepool
Oleh: Amir Shariffuddin

Penjaga gol Selangor, Syed Adney Syed Hussein yang mendapat tawaran menjalani percubaan dengan skuad yang baru dinaikkan ke Liga Satu England, Hartlepool April lalu bagaimanapun hanya akan terbang ke sana pada bulan Julai nanti menjelang persiapan musim baru. Adney sepatutnya membuat penampilan pertama dalam skuad Liga Simpanan Hartlepool menentang Scunthorpe pada 19 April.
Adney yang membuat penampilan pertama skuad utama Selangor dalam perlawanan menentang Johor FC kelmarin memberitahu SELANGORFC.COM bahawa beliau sebaliknya akan menumpukan usaha untuk merebut slot penjaga gol utama Selangor dan pasukan Olimpik negara. Walaupun beraksi sebagai kesebelasan utama skuad Sukan Asia di Doha, beliau hanya bermain satu perlawanan sahaja dalam pusingan kelayakan Olimpik setakat ini berikutan masalah kecederaan. Tempat Adney diambil alih oleh Nasril Nourdin dan Farizal Marlias.
Ketika ditanya adakah beliau akan menghadapi masalah permit pekerjaan jika menerima tawaran kontrak beraksi di sana berikutan ranking Malaysia di luar kedudukan 70 dunia, Adney menjelaskan beliau tidak akan menghadapi kesukaran seperti yang dialami oleh penjaga gol Perak Mohd Nasril Nourdin yang mengundang minat Blackburn Rovers tahun lalu berikutan beliau dilahirkan di Liverpool di samping ibunya berbangsa Scot. Hakikat ini turut dikongsi oleh Dave Roberts, konsultan Global Sports Group yang bertanggungjawab membawa Adney ke sana.
Syed Adney yang disenaraikan sebagai pemain skuad Piala Presiden Selangor musim ini mula diletakkan di bangku simpanan skuad utama bermula pada perlawanan Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur pada 21 April lalu dan mengekalkan tempat beliau sehinggalah mendapat kepercayaan dalam perlawanan semalam.