24.05.07
Barisan Dollah kembali membara
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

KEJAYAAN Selangor menewaskan PKNS Selangor 2-1 ketika perlawanan suku akhir pertama, Piala FA kelmarin memberi keyakinan kepada barisan muda Dollah Salleh untuk meneruskan kemaraan dan juga memburu kejuaraan kelima Piala FA.
Bagi pemain tengah Selangor, Razman Roslan walaupun beraksi tanpa empat tonggak senior yang kini bersama skuad kebangsaan di Australia, pemain merah kuning tetap berjaya mempamerkan aksi terbaik kelmarin.
“Memang sukar beraksi tanpa Shukor (Adan), Fadzli (Shaari), Safee (Sali) dan Akmal Rizal kerana mereka adalah tonggak pengalaman dan nadi kekuatan pasukan kami musim ini.
“Tetapi kami masih mempunyai beberapa lagi pemain senior seperti P Gunalan dan Amri (Yahyah) yang berjaya memainkan peranan dengan baik ketika pertemuan dengan PKNS.
“Pemain muda lain juga mahu membuktikan kami masih boleh bersaing, walaupun beraksi tanpa empat tonggak utama kami musim ini,” kata Razman.
Razman yakin Selangor mampu meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir, walaupun hanya berbekalkan kelebihan satu gol dari perlawanan pertama.
“Jika kami dapat mengekalkan corak permainan sama kelmarin, saya yakin kami mampu meneruskan kemaraan ke separuh akhir.
“Tetapi, bagi saya mungkin kami perlu menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol lagi pada perlawanan suku akhir kedua nanti, tetapi kami harus memastikan gawang tidak dibocori PKNS,” katanya.
Pemain berusia 23 tahun itu, kini lebih banyak beraksi sebagai pemain tengah bertahan dalam skuad Selangor musim ini walaupun lebih banyak beraksi sebagai pemain pertahanan sejak mula bersama skuad Selangor pada tahun 2004.
“Tiada masalah bagi saya apabila jurulatih (Dollah Salleh) mahu saya beraksi sebagai pemain tengah, malah saya kini berasa lebih selesa,” kata Razman yang pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan pada 2005 oleh bekas jurulatih kebangsaan, Bertalan Bisckei.
(Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian, 24 Mei 2007)