02.05.07
Dollah: Disiplin jadi penentu
Oleh: S Sivabalan, The Star
Jurulatih Selangor Dollah Salleh mengingatkan pemainnya bahawa disiplin yang tinggi akan menjadi kunci kejayaan dalam pertemuan Liga Super menentang Terengganu di Stadium Shah Alam malam ini.
Selangor mempunyai sasaran untuk kekal di liga utama dan mata yang diperolehi menentang Terengganu bakal memudahkan usaha ini. Hanya pasukan di tangga terbawah akan turun ke Liga Perdana dengan Selangor kini di tangga kesembilan dengan 21 mata.
Skuad Gergasi Merah turun menentang Sang Penyu berbekalkan semangat tinggi setelah berjaya mengalahkan Perlis 1-0 dalam perlawanan Piala Malaysia di Kangar, Sabtu lalu.
"Disiplin tinggi membantu kita menewaskan Perlis. Semua pemain menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik sewaktu menyerang dan bertahan," kata Dollah.
"Saya berharap para pemain akan memberikan tahap disiplin yang sama ketika menentang Terengganu nanti. Saya berani jamin jika kita bermain seperti itu (menentang Perlis) sejak mula lagi, kita sudah pasti berada di kelompok teratas liga.
"Kita mempunyai baki tujuh perlawanan dan ada pasukan dengan baki lapan perlawanan. Saya yakin kita tidak akan tercicir hingga menjadi calon pasukan yang bakal turun liga."
Selangor akan turun tanpa pemain tunggak R Surendran, yang digantung dua perlawanan akibat menerima kad merah ketika menentang Sarawak ketika aksi Liga Super dua minggu lalu.
(Catatan SELANGORFC.COM: Pemain yang digantung sebenarnya adalah D Surendran, dan kad merah diterima adalah sewaktu aksi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur)
Terengganu juga turun dengan semangat tinggi setelah membelasah Tentera 9-1 dalam perlawanan Piala Malaysia. Januari lalu, Terengganu mengalahkan Selangor 1-0 dalam pusingan pertama liga hasil jaringan Fabio Flor di Kuala Terengganu.
(S Sivabalan, The Star 2 Mei 2007)