Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.05.07

Fuentes mahu kembali beraksi di Liga Malaysia

Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian

BEKAS penyerang Selangor, Brian Fuentes masih menyimpan harapan untuk kembali beraksi di Malaysia pada musim depan.

Fuentes yang namanya sentiasa meniti di bibir peminat Selangor dari musim 2004 sehingga kontraknya ditamatkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada pertengahan musim lalu, adalah antara tonggak import skuad Merah Kuning bersama Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.

“Saya memang berminat untuk kembali ke Malaysia, banyak kejayaan yang saya kecapi di Malaysia dalam dua setengah musim bersama Selangor dulu.

“Tetapi saya hanya akan mempertimbangkan tawaran dari Liga M, jika ia untuk musim depan kerana ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan di Argentina terlebih dulu, ” kata Fuentes ketika dihubungi di Buenos Aires.

Menurut Fuentes, sukar baginya untuk kembali ke Liga-M kini, kerana isterinya sedang sarat mengandung selain dia sendiri sedang mengikuti kursus kejurulatihan bersama Persatuan Bola Sepak Argentina.

“Saya mengambil kursus kejurulatihan sebagai bekalan untuk masa depan. Saya memang terlalu meminati bola sepak dan jika saya tidak menjadi jurulatih sekali pun selepas bersara, saya ingin menceburi perniagaan yang berkaitan bola sepak, ” kata Fuentes yang juga bekas pemain kelab Itali, Foggia.

Selepas meninggalkan Selangor, Fuentes beraksi untuk kelab Zamora dalam Liga Perdana Venezuela tetapi meninggalkan kelab itu pada Januari lalu berikutan masalah kewangan kelab berkenaan.

Mengulas saingan di Divisyen Dua Argentina, Fuentes mengatakan ia adalah liga yang kompetitif walaupun ia bukan liga utama Argentina.

“Argentina ialah sebuah negara bola sepak, jadi saingan Divisyen Dua juga amat kompetitif dan ramai pemain berbakat beraksi,” kata Fuentes.

Fuentes turut mengakui Bambang pernah menyarankan kepadanya untuk mencuba nasib di Liga Indonesia, tetapi Fuentes lebih berminat untuk beraksi di Liga M kerana serasi dengan kehidupan di Malaysia.

“Bambang pernah mengajak saya ke Indonesia, tetapi saya lebih gemar beraksi di Malaysia kerana saya dan keluarga berasa amat selesa di Malaysia khususnya di kawasan Lembah Klang,” kata Fuentes.

(Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian 22 Mei 2007)