Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.05.07

Selangor gah mara suku akhir

Oleh: Berita Harian

SELANGOR memastikan langkahan ke suku akhir Piala Malaysia apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Johor FC di Stadium Shah Alam untuk mengungguli saingan Kumpulan A, malam tadi.

Dua gol sumbangan penyerang kebangsaan yang dipanggil semula baru-baru ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada setiap babak dan jaringan ketua pasukan Shukor Adan pada lewat permainan sudah mencukupi buat barisan kendalian Dollah Salleh itu layak ke pusingan lapan pasukan terbaik.

Akmal, yang menghabiskan tiga bulan pertama bersama Selangor menyaksikan perlawanan di tepi padang berikutan kecederaan, menyempurnakan peluang pertama pada minit ke-28 apabila pertahanan Johor FC, Wan Rohaimi Wan Ismail gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hasil hantaran lintang D Surendren dari sebelah kiri.

Bekas penyerang Kedah itu mudah menolak masuk tetapi dia perlu menunggu hingga minit ke-56 untuk menghasilkan gol kedua apabila merembat leret tandukan Fadzli Saari melepasi penjaga gol lawan, Zaidi Ibrahim.

Shukor menamatkan sisa-sisa cabaran lawan dengan gol ketiga pada minit ke-78 menerusi tandukan berikutan sepakan percuma Amri Yahyah.

Kemenangan itu juga memastikan Selangor muncul juara Kumpulan A dengan 19 mata ketika saingan berbaki satu perlawanan dan kempen Merah Kuning menjadi lebih mudah apabila pencabar terdekatnya, Perlis yang juga juara bertahan, mengalami kekalahan mengejut 2-1 di tangan Kuala Lumpur sekalipun beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Utama, Kangar.