30.05.07
Selangor tepati ramalan awal
Oleh: Meor Hisham Zulkifli, Berita Harian
JUARA Piala FA 2005, Selangor menepati ramalan ke separuh akhir selepas seri 1-1 dengan pasukan dari negeri sama, PKNS Selangor di Stadium Petaling Jaya malam tadi, untuk mara dengan agregat 3-2.
Skuad Merah Kuning hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka jaringan, menerusi tandukan pemain tengah kebangsaan Fadzli Shaari yang berpunca dari sepakan sudut D Surendran dari sebelah kiri kawasan PKNS.
Namun, tuan rumah pantas bangkit menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi tandukan Mohizam Dawood Shah, hasil sepakan percuma Azrin Shah Zainal di luar kawasan penalti Selangor.
Gol penyamaan itu memberi keyakinan kepada tuan rumah untuk menggandakan asakan ke kawasan Selangor, dan PKNS nyaris menambah jaringan pada minit ke-21, namun Mohizam gagal menyambut baik hantaran silang Mohd Alafi Mahmud.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan selepas itu namun, barisan penyerang masing-masing gagal menambah jaringan gol hingga tamat permainan separuh masa pertama.
Saingan awal babak kedua menyaksikan Selangor meneruskan asakan ke kubu tuan rumah, namun barisan serangan Selangor yang diterajui penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli masih gagal menembusi benteng PKNS.
Barisan PKNS kelihatan lebih banyak menahan asakan Selangor pada babak kedua, dengan hanya sesekali mengancam kubu pelawat.
Pelawat mengejutkan PKNS meenrusi pemain tengah skuad Olimpik kebangsaan, Safiq Rahim pada minit ke-78, apabila hantaran lintangnya menuju terus ke dalam gawang tetapi mujur penjaga gol, Sany Fahmi berjaya menyelamatkan pasukannya dengan menepis bola keluar.
Penyerang kebangsaan, Safee Sali turut hampir menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-80, namun rembatannya dari dari 30 meter terkena palang gol PKNS walaupun Sany sudah tertewas.
PKNS turut berpeluang menjaringkan gol kedua pada minit-minit akhir perlawanan namun, benteng Selangor yang dikemudi Nasriq Bahrom terus kebal memastikan gawang Selangor tidak dibocori hingga tamat perlawanan, sekali gus memastikan tiket ke separuh akhir.