Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.05.07

Selangor yakin tewaskan PKNS

Oleh: The Star

Selangor akan berusaha habis-habisan untuk meraih kemenangan selesa ke atas PKNS walaupun turun tanpa empat tunggak utama dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.

Selangor tidak dapat menggunakan khidmat Mohd Safee Sali, Mohd Fadzli Saari and Akmal Rizal Rakhli dan Shukor Adan. Keempat-empat pemain itu kini bersama skuad kebangsaan dalam rangka perlawanan persahabatan di Australia sebagai persiapan menghadapi Piala Asia, Julai nanti.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata semalam pasukannya harus mencari jalan untuk mendapatkan keputusan yang baik dalam perlawanan pertama ini.

"Piala FA adalah pertandingan yang penting dan amat sukar untuk kami turun tanpa menampilkan kesebelasan terbaik. Kami terpaksa mengharapkan barisan pemain muda untuk meraih keputusan positif menentang PKNS," kata Dollah.

"Kita turun tanpa empat pemain tersebut menentang Johor FC dalam perlawanan Liga Super, Sabtu lalu.

"Kita bermain baik di separuh masa pertama. Para pemain bergandingan dengan baik di antara satu sama lain. Namun semuanya musnah di separuh masa kedua dan kita tewas 2-3.

"Ini adalah disebabkan kekurangan pengalaman. Jika mereka lebih menumpukan perhatian dalam perlawanan itu, kita mungkin pulang dengan keputusan yang lebih baik."

Selangor mendahului 2-0 di separuh masa pertama hasil jaringan Amirul Hadi Zainal dan D Surendran pada minit ke-31 dan 32.

Johor FC bagaimanapun membalas menerusi jaringan Syaiful Sabtu (m-68) dan Walter Silva (m-69 dan 90).

Namun, Dollah mendapat perkhabaran gembira apabila penyerang Amri Yahyah, yang tidak turun beraksi dalam perlawanan menentang Johor FC sedia untuk diturunkan.

"Amri melangsungkan perkahwinan dua hari lalu. Dia memberitahu bahawa dia akan kembali melaporkan diri untuk latihan hari ini (Isnin). Tanpa tiga penyerang utama, Amri pasti akan turun beraksi mengemudi barisan serangan."