Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
31.05.07

Tiada lagi kelab wakili Selangor dalam Liga

Oleh: Berita Harian

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo, semalam mengumumkan Selangor akan hanya diwakili pasukan negeri dalam saingan Liga Malaysia, tetapi ia akan dipecahkan kepada dua pasukan dan pengurusan kedua-dua pasukan akan dikendalikan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

“Bagi musim depan Selangor akan hanya diwakili pasukan negeri. Jika ada ramai pemain dari negeri Selangor kami akan menubuhkan dua pasukan tetapi kedua-dua pasukan diuruskan FAS, ” kata Mohd Khir ketika sidang media selepas mengadakan Majlis Sarapan Bersama Presiden FAS dengan pemain skuad Liga-M, Piala Presiden dan Piala Belia di Petaling Jaya, semalam.

Khir turut menegaskan dia juga tidak mahu pembabitan pihak berkuasa tempatan dan juga agensi kerajaan di negeri Selangor untuk menguruskan mana-mana pasukan Selangor.

Kenyataan Mohd Khir mungkin mencetus kebimbangan kepada pengurusan kelab PKNS Selangor, namun Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin menjelaskan lebih lanjut kenyataan Presiden FAS itu.

“Apa yang dimaksudkan Datuk Seri ialah Selangor diwakili dua pasukan, musim depan yang mungkin akan dikenali sebagai Selangor A dan Selangor B.

“Selangor A adalah pasukan Selangor kini yang akan dibarisi pemain terbaik, tetapi ia tidak bermakna PKNS akan dibubarkan.

“Skuad Selangor B mungkin akan terdiri dari skuad PKNS, sama ada dari pemain dan jurulatih tetapi namanya saja mungkin akan ditukar kerana kami mahukan dua pasukan yang akan diuruskan FAS sepenuhnya, ” kata Hamidin.

Namun, Hamidin menegaskan keputusan mengenai pasukan kedua Selangor itu akan diumumkan tidak lama lagi, selepas FAS bermesyuarat bagi membincangkan penyertaan pasukan dari Selangor dalam saingan Liga-M musim depan.

PKNS kini adalah satu-satunya pasukan berstatus kelab dari Selangor yang masih beraksi dalam Liga M,selepas penarikan diri beberapa kelab dari Selangor sebelum ini.

MK Land dan Public Bank Selangor menarik diri serentak pada musim 2006 sementara pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) pula menghadapi masalah kewangan serius pada musim lalu, dan menarik diri dari saingan Liga M pada musim ini.