Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.06.07

Akmal gerun gema Darulaman

Oleh: Ahmad Khawari Isa, Berita Harian

GEMPITA sorakan pernah jadi miliknya. Tetapi malam ini, Akmal Rizal Rakhli akur dengan hakikat betapa ‘gema’ Stadium Darulaman yang pernah menyanjunginya, mungkin akan bertukar membencinya.

Semuanya terjelma daripada hakikat betapa selepas lapan tahun menabur jasa - daripada ketika dia berusia 18 tahun - aksi Liga Super malam nanti adalah kali pertama Akmal turun dengan bukan jersi Hijau Kuning tersalut di tubuhnya.

Lebih menarik, ada alasan penting mengapa Kedah begitu bimbangkan kelibat aksi dan sentuhan berbisa penyerang yang mereka lepaskan tanpa tawaran kontrak baru, hujung tahun lalu.

Kerana jika Akmal menyumbang gol ataupun memainkan peranan membantu Selangor pulang dibuai gembira kemenangan, ia mungkin bermakna penguasaan Kedah di tangga teratas Liga Super, terpaksa dileraikan.

Pesaing terdekat mereka, Perak, tidak dijangka bermasalah menundukkan Pahang di tempat sendiri, malam nanti, sekali gus menjadikan misi ‘mengekang’ Akmal amat penting buat barisan pemain kepercayaan jurulatih, Azraai Khor Abdullah.

Akmal mengakui betapa dia amat sedar dengan segala kemungkinan itu.

“Saya akui betapa ada sedikit rasa gementar untuk menghadapi perlawanan ini. Kerana sejak sekian lama, saya tidak pernah mewakili pasukan lain di Stadium Darulaman.

“Tetapi ianya bukan salah saya. Sebagai pemain profesional, saya tidak punya pilihan kecuali berhijrah apabila tiada tawaran sambungan kontrak diberikan. Saya kini ada tugas bersama Selangor, dan saya akan cuba melakukannya sebaik mungkin,” katanya.

Malah sepanjang perjalanan ke Alor Star bersama rakan sepasukannya, petang semalam, kerap berlegar dalam pemikiran Akmal mengenai ‘sambutan’ bakal diterima daripada penonton apabila dia melangkahkan kaki ke stadium itu nanti.

“Jika di Eropah, penonton akan memberikan penghormatan kepada pemain yang pernah berbakti untuk pasukan mereka, biarpun jika pemain itu hadir bersama pasukan lain.

“Saya menghargai segala sokongan penyokong ketika bersama Kedah sebelum ini. Saya cuma mahu mereka faham bahawa sebagai pemain profesional, ada pilihan terpaksa saya ambil.

“Mungkin tiada sambutan ataupun penghormatan akan saya terima, tetapi saya sudah bersedia untuk berdepan dengan apa kemungkinan sekalipun,” katanya.

(Ahmad Khawari Isa, Berita Harian 2 Jun 2007)