29.06.07
Akmal sudah sedia kembali beraksi
Oleh: Hamdan Saaid, Berita Harian

PENYERANG prolifik, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pernah membayangkan hasrat untuk bersara terus selepas lapan bulan berehat gara-gara kecederaan teruk di buku lali pada Mac 2004, diikuti lutut kanan tahun lalu.
Namun semangat untuk menabur bakti buat skuad negara, menguatkan tekadnya untuk bangkit melupakan kekecewaan lalu biarpun ditimpa kecederaan sekali lagi. Kecederaan terbaru, yang dialaminya enam hari lalu pada separuh akhir kedua Piala FA menentang Kedah di Shah Alam, tidak seteruk dua kecederaan pada 2004 dan tahun lalu.
“Sebenarnya, apa yang terlintas di fikiran saya selepas berlaga dengan penjaga gol Kedah, Helmi (Eliza Elias), saya mungkin terpaksa kempunan untuk beraksi pada Piala Asia. Saya memang betul-betul bimbang ketika itu kerana rasa cukup sakit. “Namun, saya lega apabila diberitahu doktor (selepas pemeriksaan) bahawa kecederaan itu tidak seteruk mana dan berpeluang memberikan sumbangan kepada skuad negara,” kata penyerang Selangor berusia 25 tahun itu.
Akmal sudah mula berjoging di hotel penginapan pasukan negara di Shah Alam semalam, dalam usahanya memulihkan kembali kecederaan lututnya itu dan mencerahkan peluangnya untuk beraksi menentang China dalam perlawanan pertama Kumpulan C, 10 Julai depan.
“Sebagai penyerang, sasaran saya adalah untuk menjaringkan gol dan sebagai pemain, sasaran saya untuk membantu Malaysia layak ke pusingan suku akhir. “Suasana dalam pasukan kini amat bagus tanpa wujud sebarang kumpulan atau berpuak-puak. Lagipun dengan gabungan pemain lama dan baru dalam skuad kali ini, saingan untuk merebut tempat pun amat baik,” katanya.
Akmal, pernah beraksi dengan kelab Perancis, FC Haguenau pada musim 2001-2002, berkata dia pernah membayangkan untuk terus melupakan bola sepak buat selama-lamanya. “Tetapi dorongan kuat keluarga dan isteri (Shahira Mohd Tajudin) menggagahkan saya kerana bola sepak seperti sebati dengan kehidupan saya,” katanya yang semakin yakin untuk menyarung jersi kuning hitam “Harimau Malaya” pada kempen Piala Asia dalam tempoh 12 hari saja lagi.
Akmal, yang mula menonjol apabila membantu Malaysia menjuarai Piala Perdana Nike 1995, membuat penampilan sulung dalam skuad senior kebangsaan pada pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Palestine di Hong Kong pada 11 Mac 2001 di bawah kendalian jurulatih berbangsa Inggeris, Allan Harris.
(Hamdan Saaid, Berita Harian 29 Jun 2007)