Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
25.06.07

Dollah kecewa mutu pengadilan

Oleh: Hamdan Saaid, Berita Harian

BUKAN kali pertama tetapi sudah beberapa kali jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengecam mutu pengadilan dalam kancah aksi Liga Malaysia dan ianya tidak terkecuali malam kelmarin apabila pasukannya tersingkir pada separuh akhir Piala FA di tangan Kedah.

Hakikatnya bagi Dollah, terlalu banyak keputusan pengadil Noor Azman Nordin dari Negeri Sembilan yang diragukan sepanjang perlawanan termasuk insiden penyerang kebangsaan Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang berlaga dengan penjaga gol lawan, Helmi Eliza Elias.

“Saya amat kecewa kerana Akmal diterjah dari belakang dalam satu situasi (dakwaan Selangor sepatutnya mendapat sepakan penalti) dan pengadil meniupkan wisel dari tengah padang. Tiada sebarang kad kuning diberikan terhadap pemain lawan.

“Begitu juga insiden Akmal dengan penjaga gol yang mana terang-terang penjaga gol itu menghulurkan kaki mengasari Akmal. Saya juga tidak faham kenapa penjaga gol itu tidak dilayangkan kad kuning.

“Pada masa sama, saya harap dia (Akmal) boleh beraksi buat pasukan negara,” katanya dalam nada kecewa.

Sekalipun gagal melayakkan diri ke final buat kali ketujuh dalam sejarah, Dollah tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang disifatkan antara terbaik musim ini, di depan kira-kira 25,000 penonton di Stadium Shah Alam, juga rekod kehadiran tertinggi di stadium itu musim ini.

“Mereka beraksi 100 peratus. Saya bangga dengan persembahan mereka dan saya akur kami mungkin tidak ada sedikit nasib yang boleh membantu untuk pergi lebih jauh dalam pertandingan ini,” katanya.

Kegagalan menempah tiket ke final Piala FA bermakna Selangor kini hanya berpeluang untuk merebut satu kejuaraan - Piala Malaysia - yang mana mereka sudah layak ke suku akhir Ogos depan.

“Kini kami akan tumpukan sepenuhnya terhadap kempen memburu kejuaraan Piala Malaysia,” kata Dollah, yang tidak menggunakan sebarang pemain import dan separuh pasukannya pemain muda berusia bawah 21 tahun musim ini.

(Hamdan Saaid, Berita Harian 25 Jun 2007)