18.06.07
Dollah yakin bangkit di Shah Alam
Oleh: Lokman Zainal Abidin, Harian Metro
TEWAS 2-0 kepada Kedah tetapi ia tidak akan membuat jurulatih Selangor, Dollah Salleh merasa bimbang dan risau kerana yakin keputusan itu mampu diatasi skuad Gergasi Merah pada perlawanan kedua di Stadium Shah Alam, hujung minggu ini.
“Saya tidak risau sebaliknya bangga dengan prestasi serta persembahan yang dilakar pemain saya pada pertemuan menentang Kedah semalam (kelmarin). Walaupun bermain di tempat lawan yang dibantu sokongan padu penyokong tempatan, pemain saya tetap mempamer aksi yang baik.
“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa saya perlu bimbang dengan keputusan 2-0 itu. Pemain mencipta gerakan dan memiliki beberapa peluang yang hampir menghasilkan gol. Kami cuma tidak bernasib baik pada malam itu,” kata Dollah.
Sesungguhnya Dollah mempunyai alasan untuk tidak panik dengan keputusan itu kerana pada perlawanan kedua Sabtu ini, tiga pemain yang digantung, Amri Yahyah, Fadzirul Zakaria dan Razman Roslan sudah kembali ke pangkuan Gergasi Merah.
“Untuk perlawanan timbal balik nanti, ketiga-tiga pemain sudah boleh beraksi dan ia memang sesuatu yang amat melegakan saya. Dengan gabungan ketiga-tiga pemain itu serta enam pemain yang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan, saya yakin kami mampu mengubah keputusan perlawanan,” katanya.
Jika Dollah melaungkan keyakinan, jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah pula berkongsi rasa yang sama tetapi dengan kelebihan yang dimiliki apabila bertandang ke Stadium Shah Alam minggu ini membuatkan beliau mampu melakar senyum yang lebih lebar.
“Saya gembira dengan kejayaan pemain saya beraksi baik dan mantap. Sokongan lebih 30 ribu penyokong berjaya membakar semangat pemain untuk mempamerkan prestasi membanggakan. Pemain berjaya memberi tumpuan penuh sepanjang perlawanan sekali gus mengecewakan barisan serangan yang diketuai Akmal Rizal,” katanya.
Katanya, beliau kini mahu memastikan anak buahnya tidak terbawa dengan kejayaan kelmarin kerana sedar mereka masih memiliki 90 minit untuk diharungi.
(Lokman Zainal Abidin, Harian Metro 18 Jun 2007)
NOTA SELANGORFC.COM: Terdapat kesilapan fakta di dalam laporan di atas. Selangor hanya akan dapat menurunkan Amirulhadi Zainal dan Syed Adney Syed Hussain yang telah digugurkan dari skuad kebangsaan manakala empat pemain lagi iaitu Fadzli Saari, Shukor Adan, Akmal Rizal dan Safee Sali tidak dibenarkan beraksi oleh FAM di perlawanan separuh akhir kedua nanti.