02.06.07
FAS bangga enam pemain terpilih
Oleh: Harian Metro

APA lagi yang boleh diluahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin selain rasa bangga apabila enam pemain skuad Selangor terpilih untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan untuk menghadapi Kejohanan Piala Asia, Julai ini.
“Bagi kami di FAS, menjadi pasukan yang paling ramai mempunyai pemain di dalam kem latihan skuad kebangsaan adalah satu penghormatan besar. Ini menunjukkan bahawa prestasi pemain skuad Selangor mendapat perhatian ramai.
“Sebelum ini, hanya empat pemain kami yang dipanggil tetapi berdasarkan senarai terbaru yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini (semalam), nama Syed Adney Syed Hussain dan Amirulhadi Zainal turut tersenarai.
“Kami tahu ini adalah peluang terbaik bagi kedua-dua pemain muda itu untuk mengumpul sebanyak mungkin pengalaman menjalani latihan bersama-sama barisan pemain yang boleh disifatkan sebagai antara yang terbaik di Malaysia.
“Kedua-dua pemain muda itu perlu menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk menambah pengalaman masing-masing,” kata Hamidin.
Selain Syed Adney dan Amirulhadi, empat lagi pemain Selangor yang turut tersenarai ialah Muhammad Shukor Adan, Mohd Fadzli Saari, Akmal Rizal Rakhli dan Mohd Safee Sali.
Kem latihan pusat skuad negara untuk menghadapi Kejohanan Piala Asia akan dilangsungkan mulai 7 Jun hingga 5 Julai di Pulau Pinang dan Hamidin sudah mendapat jaminan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad bahawa semua pemain terbabit akan diberi pelepasan untuk mewakili Selangor bagi berdepan Kedah pada separuh akhir Piala FA, 16 dan 23 Jun ini.
“Dengan jaminan itu, kami di FAS tidak bimbang untuk melepaskan pemain menghadiri kem latihan pusat kerana ilmu yang diperoleh ketika menjalani latihan itu boleh digunakan untuk memantapkan pasukan,” katanya.
Harian Metro, 2 Jun 2007