Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
25.06.07

Peluang Akmal mula samar

Oleh: Ahmad Khawari Isa, Berita Harian

BIMBANG yang sebelumnya mengganggu, tambah menggelisahkan apabila skuad negara meniti kemungkinan tidak mampu menggunakan khidmat penggempur utama, Akmal Rizal Rakhli untuk cabaran Kejohanan Piala Asia, bermula 10 Julai nanti.

Akmal semalam terlantar di sebuah pusat perubatan di Kelana Jaya dan akan menjalani pemeriksaan MRI (magnetic resonance image), hari ini, untuk mengetahui tahap kecederaan lututnya selepas diterjah keras lawan ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di antara Selangor dan Kedah, malam kelmarin.

Ia sekali gus menjelmakan kembali kecaman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ditafsir membelakangkan kepentingan skuad negara apabila bersetuju melepaskan Akmal dan beberapa pemain lain memikul cabaran bersama pasukan negeri buat aksi Piala FA.

Namun Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang meluluskan pelepasan itu, bertegas enggan menanggung beban kecaman itu.

“Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang meminta pelepasan Akmal. Kita sudah maklumkan risiko yang menanti tetapi mereka bertegas bahawa perlawanan itu penting dan khidmat Akmal amat diperlukan.

“Kita bimbang jika pemain ditimpa kecederaan, ia merugikan pasukan negara. Tetapi pada masa sama, kita juga perlu menimbangkan permintaan pasukan bertanding.

“Keputusan ini dibuat jawatankuasa, bukan saya secara bersendirian. Ia diputuskan selepas mengambil kira segala faktor dan rayuan yang dikemukakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Apa yang pasti, Akmal terpaksa berehat untuk minimum seminggu jika pemeriksaan MRI tidak menunjukkan kesan kecederaan lebih serius - sekali gus menghalang usaha jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar, memantapkan kombinasinya bersama Hairuddin Omar ketika aksi persahabatan menentang Jamaica, Khamis nanti.

Jika pemeriksaan MRI menjelmakan keputusan lebih buruk, Akmal terpaksa melupakan langsung hasrat bersama skuad negara dalam kejohanan berprestij sebenua itu.

“Saya sebenarnya tidak sangka boleh tercedera malam ini (kelmarin). Namun saya harap kecederaan ini tidak seburuk dialami sebelum ini. Memang saya berasa sakit amat sangat selepas berlaga dengan penjaga gol Kedah (Helmi Eliza Elias) tetapi ia hanya hentakan tanpa ada sebarang bunyi ‘pop’ seperti sebelum ini.

“Kalau tidak serius, saya rasa boleh kembali berlatih dalam tempoh antara tiga atau empat hari,” kata Akmal sebelum dikejarkan ke pusat perubatan itu sebaik tamat perlawanan kelmarin.

Akmal berlaga dengan Helmi ketika berusaha memecah kebuntuan jaringan Selangor tetapi penjaga gol Kedah itu dipersalahkan kerana mengangkat kakinya tinggi sekalipun penyerang berusia 25 tahun itu cuba mengelak.

Selangor dan Kedah seri 1-1 dalam perlawanan itu, sekali gus membolehkan Kedah melangkah ke final dengan kelebihan agregat 3-1.

(Ahmad Khawari Isa, Berita Harian 25 Jun 2007)