Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
02.06.07

Piala FA: Selangor bertemu Kedah

Oleh: Hamdan Saaid, Berita Harian

KEDAH bertemu Selangor – satu pertembungan paling menarik menanti peminat bola sepak tempatan apabila kedua-dua bekas juara itu diundi bertemu pada separuh akhir pertandingan Piala FA musim ini, yang akan diadakan pada 16 dan 23 Jun ini.

Kedua-dua pasukan masing-masing mempunyai catatan rekod dalam Piala FA yang dimulakan sejak 1990, dengan Selangor kini memegang rekod sebagai juara terbanyak empat kali (1991, 1997, 2001 dan 2005) manakala Kedah sekadar sekali pada 1996.

Namun di atas kertas, Kedah lebih unggul musim ini dengan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super, layak ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia.

Mereka juga memenangi pertemuan pusingan pertama Liga Super 2-0 pada 14 Februari lalu di Shah Alam.

Prelud bagi pertembungan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman pada 16 Jun ini akan dapat disaksikan dalam aksi Liga Super di gelanggang yang sama malam ini dengan Kedah, pastinya mahu memastikan tiga mata bagi mengukuhkan peluang bergelar juara buat julung kali.

Satu lagi pertemuan separuh akhir adalah antara juara 1998, Johor-Pasir Gudang yang memikili kelebihan bermain di gelanggang sendiri menentang Perlis di Larkin pada 16 Jun sebelum ke Kangar tujuh hari kemudian.

Perlis adalah pasukan yang belum pernah menjuarai piala itu di kalangan empat pasukan di separuh akhir dengan sekadar muncul naib juara dua kali pada 2003 dan 2006.

Namun apa yang pasti gelanggang final Piala FA pada 30 Jun ini tidak mungkin diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil mahupun Stadium Shah Alam kerana ia ditutup bagi persediaan menghadapi pusingan akhir Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (gambar) mengesahkan gelanggang saingan final akan diadakan di luar dari Lembah Klang dengan memberi bayangan sama ada ia dilangsungkan di Paroi atau Ipoh.

“Kami tidak boleh menggunakan Stadium Nasional dan Stadium Shah Alam kerana ia semakin hampir dengan Piala Asia. Oleh kerana itu kami mencari alternatif lain dan bercadang menggunakan sama ada Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi atau Stadium Perak di Ipoh sebagai gelanggang final,” katanya.

Sementara itu, disebabkan Ramadan pada pertengahan September ini, FAM terpaksa mempercepatkan jadual Piala Malaysia lebih seminggu dengan saingan final pada 8 September.

Raja Ahmad berkata, pertemuan suku akhir akan diadakan pada 8 dan 15 Ogos manakala separuh akhir pada 1 dan 4 September.

(Hamdan Saaid, Berita Harian 2 Jun 2007)