27.06.07
Saya akan bersaing
Oleh: Shahril Nizam Abdullah, Kosmo

Peluangnya untuk menggalas tugas sebagai penggempur utama skuad kebangsaan tampak seperti cerah berikutan kecederaan yang melanda penyerang harapan, Akmal Rizal Rakhli.
Namun bagi penyerang muda Selangor, Mohd Safee Sali, dia mahu menggalas tugas tersebut menerusi persaingan yang sihat dan lebih adil, bukan kerana terpaksa.
Sebagai muka baru dalam skuad kebangsaan, penyerang muda itu sedar dia mungkin menjadi pilihan terakhir jurulatih, Norizan Bakar untuk merobek kubu pasukan lawan pada kempen Piala Asia bulan depan.
Tatkala Norizan lebih gemar menggunakan gandingan Akmal bersama Hairuddin Omar, ditambah pula dengan kehadiran penyerang berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin, Safee tetap positif dengan peluangnya untuk merebut satu di antara dua peranan itu.
"Saya sedar jika dibandingkan dengan pengalaman di pentas antarabangsa, saya mungkin kurang berbanding Akmal, Hairuddin dan Indra.
"Tapi ia tidak melemahkan semangat saya, malah saya tetap akan cuba memberi saingan kepada mereka untuk merebut tugas utama itu. Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku," kata Safee semalam.
Safee juga tidak mahu menganggap kecederaan yang menimpa Akmal adalah suatu rahmat baginya untuk mencuri peluang tersebut.
"Saya tidak mahu menjadi pilihan kedua atau ketiga bagi Norizan hanya kerana pilihan utamanya cedera," kata Safee.
"Malah saya lebih suka jika dipilih berdasarkan prestasi, kebolehan dan keyakinan yang saya buktikan kepada jurulatih.
"Ia satu cabaran buat saya dan persaingan sihat ini juga bakal menguntungkan skuad negara," ujarnya penuh semangat.
Menurutnya lagi, dia juga tidak kisah jika dipilih atau tidak menggalas tugas utama tersebut kerana baginya apa yang penting bukanlah menjadi pemain utama tapi adalah kemenangan.
"Saya tidak kisah jika dipilih atau tidak kerana apa yang penting ialah kita dapat menghasilkan kejayaan.
"Saya rasa ini adalah skuad terbaik kita setakat ini dan saya mahu membuktikannya."
(Shahril Nizam Abdullah, Kosmo 27 Jun 2007)