Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.06.07

Subkhiddin akui kesilapan penalti

Oleh: Loganath Velloo, The Star

Jurulatih Selangor Dollah Salleh mendakwa pengadil perlawanan telah mengakui bahawa beliau melakukan kesilapan ketika menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Kedah ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darulaman, Sabtu lalu.

Subkhiddin Mohd Salleh memberikan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah setelah pemain pertahanan Selangor, P Gunalan menjatuhkan Hasmawi Hassan di dalam kotak penalti. Kedah sedang mendahului ketika itu hasil jaringan minit ke 13 oleh Marlon James.

Pemain tengah Chile, Nelson Martin menyempurnakan sepakan tersebut dan perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 2-0 berpihak kepada Kedah.

Dollah mendakwa kesalahan itu dilakukan di luar kotak penalti dan pegawai perlawanan sendiri mengakui kesilapan itu kepada seorang pemain Selangor sejurus sebelum sepakan diambil.

"Saya terkejut apabila diberitahu Gunalan yang sebaik sahaja sepakan diberikan, pengadil meminta maaf di atas kesilapan itu. Saya tidak kisah jika perkara ini dilaporkan di dalam akhbar kerana Subkhiddin sendiri mengakui kesilapannya," kata Dollah selepas perlawanan.

"Sudah terlewat untuk mengubah apa-apa. Kesilapan pengadil sekadar menyukarkan tugas kami dalam perlawanan kedua nanti."

Meskipun pasukan bimbingannya gagal menembusi pintu gol Kedah, Dollah memuji semangat juang pemainnya menghadapi situasi penuh tekanan di Alor Star.

"Keadaan pastinya berbeza jika kami berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol tempat lawan untuk mengurangkan tekanan," katanya.

"Tetapi pemain-pemain telah memberikan persembahan yang baik dan kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Malangnya nasib tidak menyebelahi kami dan Kedah berjaya mencipta jaringan hasil serangan balas pantas. Malah apabila kami berjaya melakukan sepakan tepat ke pintu gol lawan, penjaga gol Kedah (Mohd Helmo Eliza) berjaya menyelamatkannya denga baik."

Peluang terbaik Selangor hadir apabila cubaan Mohd Fadzli Saari terkena palang gol Kedah di separuh masa pertama.

Ketidakmampuan skuad Gergasi Merah menjaringkan gol di Kedah pastinya membawa padah kerana bakal kehilangan empat pemain kebangsaan untuk perlawanan separuh akhir kedua nanti.

Pemain yang terlibat adalah Akmal Rizal Rakhli, Mohd Safee Sali, Mohd Fadzli dan Shukor Adan.

Dua lagi pelatih skuad kebangsaan, Amirulhadi Zainal dan Syed Adney Syed Hussain bagaimana[un digugurkan semalam.

"Sudah tentu kehilangan enam pemain pastinya memberi kesan tetapi kita telah belajar bermain tanpa mereka dalam aksi liga dan tiada masalah untuk kami mengulanginya semula," kata Dollah.

“Saya boleh mengharapkan pemain seperti Mohd Amri Yahyah dan pemain Piala Presiden, Wan Mohd Hoesne untuk mengepalai barisan serangan. Kita mungkin ketinggalan dua gol namun masih ada 90 minit lagi untuk para pemain beraksi mengubah keadaan. Selangor belum mahu mengalah lagi."

Kedah pula bakal kehilangan dua orang pemain untuk persiapan skuad kebangsaan menjelang pusingan akhir Piala Asia bulan depan. Mereka ialah Ahmad Fauzi Shaari dan V Thirumurugan.

(Loganath Velloo, The Star 18 Jun 2007)