Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.07.07

China risau Akmal

Oleh: Sufian Thauri Muhammed, Harian Metro

BERBANDING pasukan negara, China dilihat memiliki segala-galanya untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir daripada Kumpulan C.

Namun, menjelang pertembungan kedua-dua pasukan, timbul sedikit kegusaran dalam kem China terhadap peluang mereka apabila berhadapan Malaysia, Selasa ini.

Laporan media China memetik jurulatih pasukan itu, Zhu Guanghu, bimbang dengan keupayaan penyerang utama negara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan menyifatkannya sebagai ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

Guanghu teringat betapa tajamnya pemain itu melakukan jaringan ketika mengikat China 1-1 pada kelayakan pra-Olimpik 2004 di Wuhan.

Mengulas mengenainya, Akmal menyifatkan kebimbangan Guanghu terhadap keupayaannya hanya akan memudahkan tugas rakan sepasukannya untuk menjaringkan gol.

“Biarlah dia bimbang kerana ia memberikan kebaikan kepada kami.

“Jika dia terlalu memberikan tumpuan kepada saya, rakan sepasukan saya pasti mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjaringkan gol,” katanya.

Akmal mengakui tanggungjawabnya sebagai penyerang utama memiliki tekanan tersendiri, tetapi dia berkata, tugas menjaringkan gol turut mampu dilaksanakan rakan sepasukannya.

“Tekanan sentiasa ada, namun dengan adanya bantuan rakan sepasukan dari bahagian tengah dan pemain seperti Hairuddin Omar, kami mempunyai peluang yang lebih baik untuk menjaringkan gol.

“Kekuatan pasukan negara bukan terletak pada individu tertentu, sebaliknya secara berpasukan. Namun, saya tetap menyimpan hasrat untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan,” katanya.

Akmal yang tercedera pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, bulan lalu, tampak bersedia menghadapi saingan Piala Asia.

Dia tampak tajam di hadapan gawang sepanjang latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Semangatnya membuak untuk menunjukkan keupayaannya kerana selain mahu mengharumkan nama Malaysia, dia turut menjadikan Piala Asia sebagai tapak untuk mencari tempat bermain di luar negara.

“Saya harap persembahan saya di Piala Asia dapat membuka pintu kepada saya untuk kembali bermain di luar negara. Kontrak saya dengan Selangor tamat tahun ini dan saya mencari peluang untuk bermain di luar negara.

“Saya berminat bermain di Jepun atau China, tetapi jika mendapat tempat di Eropah, ia satu bonus.

“Saya berusia 26 tahun dan ada keluarga. Bermain di luar negara membolehkan saya mendapat gaji lebih tinggi.

“Lagipun sejak kecil, saya memang bercita-cita menjadi pemain profesional di luar negara,” katanya.


(Sufian Thauri Muhammed, Harian Metro 7 Julai 2007)