04.07.07
Gergasi Merah cemerlang
Oleh: Lokman Zainal Abidin, Harian Metro

JUMAAT lalu, skuad bawah 19 tahun Selangor berjaya mencatat satu lagi sejarah baru bagi arena bola sepak negeri itu apabila barisan bimbingan jurulatih P Maniam itu menamatkan saingan peringkat liga dengan mengekalkan rekod tanpa kalah.
Tidak pernah ada pasukan dari Selangor yang bersaing di peringkat Piala Belia mampu menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan dan apa yang dilakukan skuad bawah 19 tahun mereka pada kali ini tentunya sesuatu yang menarik perhatian pucuk pimpinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Sebelum bermulanya musim ini, Maniam dan beberapa pegawai pasukan bawah 19 tahun Selangor, diulit resah apabila sebahagian besar daripada pemain mereka diserapkan di dalam skuad Piala Presiden.
Tetapi, berkat usaha keras yang tanpa mengenal penat apabila terpaksa meredah setiap daerah di negeri itu untuk mengesan pemain yang berbakat, membawa kesan yang cukup membanggakan apabila mereka berjaya mencipta rekod tanpa kalah dan kejayaan seperti itu adalah sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
“Saya selaku Setiausaha Agung FAS amat berpuas hati dengan pencapaian skuad bawah 19 tahun Selangor dan dengan usaha keras jurulatih serta semua pegawai pasukan itu, mereka berjaya mencipta rekod baru.
“Saya yakin, kejayaan mereka itu tidak akan hadir tanpa komitmen tinggi jurulatih, pengurus pasukan, Muhammad Bushro Mat Johor, pegawai serta semua pemain bawah 19 tahun. Kami di FAS mengucapkan sekalung tahniah dan yakin mereka mampu mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini,” kata Hamidin Mohd Amin.
Selaku juara Kumpulan A, Selangor dan tiga pasukan lain di dalam kumpulan sama serta empat pasukan di dalam Kumpulan B, layak ke pusingan kedua iaitu suku akhir dan mereka akan beraksi sebanyak enam lagi perlawanan sebelum layak ke separuh akhir dan seterusnya perlawanan akhir Piala Belia.
Piala Belia yang disertai pemain di bawah 19 tahun adalah antara kejohanan yang diwujudkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha mencungkil bakat-bakat muda negara.
“Saya sudah memaklumkan kepada Menteri Besar yang juga Presiden FAS serta Exco negeri atas kejayaan skuad berkenaan dan saya rasa mereka layak menerima pujian atas kejayaan itu,” kata Hamidin.
(Lokman Zainal Abidin, Harian Metro 4 Julai 2007)