09.07.07
Safee intai peluang di Eropah

Setelah penyerang Akmal Rizal Rakhli menyuarakan hasrat untuk bermain di luar negara dalam petikan akhbar Harian Metro Sabtu lalu, kini seorang lagi pemain Selangor, Mohd Safee Sali turut bercadang menjadikan kejohanan Piala Asia sebagai tapak untuk beraksi di Eropah.
Berkata kepada pemberita akhbar The Star, S Sivabalan, Safee berkata bahawa Piala Asia merupakan medan terbaik untuk menarik perhatian pencari bakat dari kelab-kelab luar negara.
"Di masa lalu, skuad kebangsaan berpeluang beraksi dengn kelab-kelab ternama, seperti Manchester United pada 2001. Juga dalam kejohanan Piala Liga Perdana Inggeris membabitkan Chelsea, Newcastle dan Birmingham pada 2003.
Malah kita turut berpeluang menentang Brazil dalam perlawanan persahabatan sebelum skuad itu menjulang Piala Dunia 2002. Itu semua merupakan pentas terbaik untuk pemain tempatan menunjukkan bakat namun tiada yang berjaya mencuri perhatian."
Safee mengakui tahap skuad kebangsaan jauh lebih rendah berbanding lawan mereka dan peluang untuk melayakkan diri dari peringkat kumpulan adalh tipis.
"Kita akan mendapat gambaran sebenar kedudukan kita sewaktu beraksi menentang China kelak. Rata-rata menjangkakan kita akan tewas mudah namun pastinya saya dan rakan-rakan akan menunjukkan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri."