17.08.07
Dollah akui perlu pemain import
Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro
MELIHAT kepada pencapaian yang tidak konsisten dan terbaru sekadar menamatkan saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia, Selangor dilihat amat memerlukan khidmat pemain import jika mahu melihat mereka mengulangi kejayaan seperti sebelum ini.
Skuad yang terkenal dengan jolokan Merah Kuning akhirnya 'tutup kedai' tanpa sebarang piala diraih sejak mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2006/07 dan kegagalan itu menunjukkan mereka kini terdesak untuk mendapat khidmat pemain asing.
Ketika diajukan mengenai perkara itu, jurulatih Selangor, Dollah Salleh tidak menafikan yang dia amat memerlukan khidmat pemain import seperti musim lalu dengan memiliki dua pemain dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.
"Ada baiknya jika kami dibenarkan menggunakan pemain import dan saya lihat ia satu kelebihan kepada pasukan. Tetapi bagaimana pula dengan pemain tempatan sudah tentu mereka tidak berpeluang untuk beraksi.
"Tetapi saya tidak boleh membuat keputusan itu kerana Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang bakal menentukan. Kalau dia (MB) cakap boleh ... jadi saya terimalah.
"Jadi, sekarang ini saya hanya menumpukan kepada menyiapkan laporan sepanjang kempen Liga M untuk diserahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)," katanya yang tidak menjelaskan bilakah laporan itu akan diserahkan.
Kali terakhir Selangor berjaya meraih kejuaraan Piala Malaysia pada 2005 apabila menundukkan Perlis 3-0 dan selepas itu kemegahan skuad Merah Kuning terus tenggelam termasuk gagal di peringkat separuh akhir Piala FA.
Ditanya mengenai namanya dicalonkan sebagai jurulatih kebangsaan bersama jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah, Dollah berkata, dia belum mengetahui mengenai perkara itu.
"Saya tidak mendapat apa-apa pun mengenai berita itu." katanya.