Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.08.07

Dollah hampa prestasi Selangor bertemu Singapura

Oleh: Berita Harian

JURULATIH Selangor Dollah Salleh jelas kecewa dengan kekalahan 3-1 kepada Pilihan Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor kelmarin, namun tetap menganggapnya sebagai persediaan berguna pasukannya menjelang perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu Terengganu, Rabu ini.

Pada perlawanan kelmarin, Selangor menurunkan keseluruhan pemain dari skuad Liga M dan hanya pemain pertahanan PKNS Selangor, Nazrulerwan Makmur hadir sebagai pemain jemputan manakala barisan Pilihan Singapura dibarisi enam pemain kebangsaannya dan juga pemain import terbaik Liga S.

“Saya gembira melihat pemain-pemain muda kami yang diturunkan malam ini (kelmarin) berjaya memberi saingan kepada lawan yang jelas lebih berpengalaman dari pemain saya.

“Tetapi saya juga turun tanpa lima pemain utama yang tercedera atau bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan. Memang ini keputusan mengecewakan tetapi ia adalah perlawanan persediaan yang berguna kepada kami menjelang pertemuan dengan Terengganu nanti,” kata Dollah.

Jurulatih itu turut bimbang dengan tahap kecergasan penyerang utama, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak kedua kelmarin, selepas mengalami kejang otot.

Tahap kecederaan Akmal akan hanya diketahui apabila penyerang kebangsaan itu menjalani pemeriksaan hari ini.

Sementara itu, penyerang kebangsaan Singapura Noh Alam Shah Kamarezaman menyuarakan rasa bangga dengan kemenangan pertama Pilihan Singapura ke atas Selangor di Shah Alam sejak Piala Sultan Selangor diperkenalkan pada 2001.

“Memang saya bangga menjadi sebahagian daripada pemain yang membantu Pilihan Singapura muncul juara kali ini, ia lebih istimewa buat kami kerana ini adalah kemenangan pertama kami di Stadium Shah Alam.

"Pasukan yang turun hari ini memang bukan barisan terkuat Singapura, ada beberapa pemain muda terbaik kami tidak tersenarai kerana berada dalam skuad bawah 23 tahun yang bakal beraksi di Pestabola Merdeka hujung bulan ini.

“Tetapi saya harus memberi pujian kepada barisan muda Selangor yang kurang berpengalaman tetapi saya percaya mereka akan meningkat dalam Liga M musim depan

“Saya juga rasakan Shukor (Adan) berjaya membimbing pemain- pemain muda Selangor dengan baik selaku kapten,” kata Noh Alam Shah.