10.08.07
Dollah kecewa Selangor kongsi mata
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian
TATKALA kemenangan sudah terhidang di tangan apabila anak buahnya mendahului Terengganu 2-1, jurulatih Selangor Dollah Salleh jelas kecewa apabila penalti pada minit terakhir perlawanan menafikan peluang pasukannya mencatat kemenangan dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, kelmarin.
“Saya kecewa kami gagal menang malam ini (kelmarin), selama 60 minit kami gagal mempamerkan aksi terbaik tetapi kemudian kami bangkit dan mendahului lawan, malah sepatutnya menang jika tidak kerana sepakan penalti itu.
“Saya juga kecewa dengan kesilapan bodoh yang dilakukan Amri (Yahya) apabila cuba menjaringkan gol menggunakan tangan, kini selepas menerima kad merah dia tidak dapat diturunkan pada perlawanan kedua nanti,” kata Dollah.
Namun bekas penyerang kebangsaan itu masih berfikiran positif menjelang kunjungan ke Kuala Terengganu kerana baginya, masih ada 90 minit lagi untuk diharungi.
Jurulatih Terengganu Yunus Alif, menyifatkan kelekaan pemainnya selepas mendahului 1-0 membolehkan Selangor bangkit sebelum jaringan penalti Sharlei Lin Miranda memastikan keputusan seri.
“Pemain terleka selepas mendahului, dan tindakan itu membuatkan mereka sendiri tertekan sehingga membolehkan lawan bangkit,” katanya.
(Mohd Fadzrie Hazis, Berita Harian 10 Ogos 2007)