11.08.07
Selangor, Singapura berentap hari ini
Oleh: Utusan Malaysia
Saingan sengit dua musuh tradisi bola sepak yang pernah mewarnai pentas Piala HMS Malaya dan Piala Malaysia suatu ketika dulu akan berentap merebut Piala Sultan Selangor Edisi Keenam di Stadium Shah Alam malam ini.
Pertembungan menarik itu akan mengimbas kembali nostalgia silam kehebatan Selangor dan Singapura menampilkan bintang-bintang veteran yang masih mampu beraksi.
Veteran Selangor akan diketuai oleh bekas pemain pertahanan kental, Santokh Singh manakala Veteran Singapura pula diketuai oleh penyerang terbilang, Fandi Ahmad.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola dan Pelaksana, Datuk Abdul Karim Munisar berkata, antara bintang-bintang handalan Selangor yang dijangka beraksi ialah Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Razali Alias, Mohd. Shah Norbit, P. Dharmalingam, Ho Hon Siong, Yap Kam Choon, Khalid Ali dan P. Maniam.
Bagi veteran Singapura pula kata beliau, antara yang akan beraksi ialah Samad Alappitchay, Quah Kim Song, Malek Awab, dan V. Sundram Moorthy.
"Kami menjangkakan perlawanan menarik bakal dipamerkan oleh kedua-dua pasukan dan lebih menjadi tumpuan aksi pilihan Selangor dan Singapura," ujarnya di sini, semalam.
Piala Sultan Selangor yang diperkenalkan pada 2001 merupakan perlawanan persahabatan antara Pilihan Selangor bertemu Pilihan Singapura dan Veteran Selangor bertemu Veteran Singapura untuk merebut Piala Sultan Selangor.
Kejohanan kali ini dijangka meriah sempena sambutan ulang tahun ke-50 Kemerdekaan Malaysia.
Abdul Karim berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turun untuk menyaksikan perlawanan tersebut di samping menyampai hadiah kepada pemenang.
Menurutnya, peminat bola sepak tanah air berpeluang memenangi tiga pakej menonton perlawanan Liga Perdana England dengan hanya membeli tiket berharga RM5 untuk menyaksikan perlawanan malam ini.
Tiket-tiket perlawanan akan mula dijual pada mulai pukul 10.00 pagi ini di Stadium Shah Alam selain beberapa tempat iaitu Hotel Quality Shah Alam dan Kuala Lumpur, Hard Rock Cafe, Planet Hollywood, Hotel Concorde Shah Alam, Hotel Brisdale Kuala Lumpur, Kelab Golf Perangsang Templer.
(Utusan Malaysia 11 Ogos 2007)