Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
15.08.07

Selangor tidak rela tumbang

Oleh: Utusan Malaysia

Buruan kemenangan menjadi agenda utama Selangor untuk menewaskan Terengganu dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam saingan suku akhir pertama, saingan kedua malam ini menjadi buruan utama untuk melangkah ke separuh akhir.

Selangor tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menewaskan Terengganu untuk layak ke separuh akhir.

Keputusan seri malam ini sekadar memberi kelebihan kepada Terengganu untuk ke separuh akhir berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.

Jurulatih Dollah Salleh berkata, beliau akan mengadunkan kesebelasan terbaik untuk memastikan kemenangan menjadi milik Selangor.

Menurut beliau, Selangor tempang tanpa kelibat pemain lincah Mohd. Amri Yahyah yang dilayangkan kad merah ketika Selangor seri 2-2 dengan Terengganu di Stadium Shah Alam.

‘‘Agak malang buat Selangor ketika kita berdepan tugas getir Mohd. Amri pula dilayangkan kad merah namun ini bukan bermakna kita tidak mampu bersaing dengan Terengganu.

‘‘Saya akan mendapatkan pengganti terbaik buat Mohd. Amri dan memastikan Selangor tidak tercicir mencari tempat ke separuh akhir,’’ ujarnya ketika dihubungi semalam.

Buat Dollah, beliau mengharapkan gandingan mantap Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Safee Sali untuk merobek benteng ampuh Terengganu.

Kelibat pemain tengah kebangsaan yang juga ketua pasukan Muhammad Shukor Adan yang menjaringkan gol menarik sewaktu pilihan Selangor tewas 3-1 kepada Pilihan Singapura dalam Kejohanan Piala Sultan Selangor Sabtu lepas menjadi sandaran utama untuk mencari gol.

Dollah tidak menafikan kehadiran Muhammad Shukor menjadi nadi gerakan Selangor selain pemain itu turut menyumbang jaringan-jaringan penting buat Selangor.

‘‘Saya memang berharap dia (Muhammad Shukor) akan beraksi cemerlang selain membantu Akmal Rizal di bahagian serangan,’’ ujarnya.

Beliau mengakui betapa Terengganu cukup ampuh apabila bermain di tempat sendiri namun peluang Selangor untuk menewaskan lawan tetap cerah.

‘‘Saya harap pemain tidak melakukan kesilapan-kesilapan kecil yang mungkin membawa padah,’’ ujarnya.

Pada saingan suku akhir pertama, Selangor terikat 2-2 dengan Terengganu hasil jaringan Muhammad Shukor (m-83) dan Gani Rahman (m-88) manakala lawan pula menerusi Fabian Flor (m54 dan m-90).