Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
17.08.07

Selangor tubuh persatuan bekas pemain

Oleh: Utusan Malaysia

Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri Selangor ditubuhkan semalam yang antara lain bertujuan membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha mencari jalan mengembalikan semula martabat bola sepak negara yang kian tersisih di mata dunia.

Setiausaha Agungnya, Azlan Johar berkata, selain usaha membantu FAM, penubuhan persatuan itu juga dapat mengumpul bekas-bekas pemain sekitar tahun 60an, 70an, 80an dan 90an.

Menurut beliau, dengan penubuhan persatuan itu segala kebajikan pemain-pemain yang pernah mengharumkan nama Selangor akan dapat dibantu.

‘‘Ini adalah antara agenda utama penubuhan persatuan bekas pemain bola sepak negeri Selangor dan ia mendapat sokongan penuh daripada ramai bekas pemain.

‘‘Kami berpendapat sudah tiba masanya penubuhan persatuan seperti ini dibuat dan sekurang-kurangnya kita dapat membantu FAM dan KBS untuk memberi idea bagi menggilap semula maruah bola sepak kebangsaan.

‘‘Selain itu, kebajikan bekas pemain juga akan dapat dibantu dan kita akan mencari sumber kewangan untuk menggerakkan persatuan ini,’’ ujarnya di sini, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa sementara itu semalam, sebulat suara telah melantik Raja Bola Malaysia, Datuk Ghani Minhat sebagai Presiden.

Bekas pemain dan jurulatih Selangor, Khaidir Buyong pula dilantik sebagai Timbalan Presiden manakala dua jawatan Naib Presiden diisi oleh Dollah Salleh dan Zainal Abibin Hassan.