Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
12.08.07

Singapura mudah atasi Selangor

Oleh: Mingguan Malaysia

Pilihan Singapura mengesahkan mereka adalah yang terbaik selepas menewaskan pilihan Selangor 3-1 dalam perlawanan yang mencuri tumpuan di Kejohanan Bola Sepak Piala Sultan Selangor Edisi Keenam di Stadium Shah Alam, semalam.

Tiga gol menerusi Daniel Mark Bennett (m-25), Mirko Grabovac (m-62) dan Muhammad Farizan Basri (m-78) memahatkan malam gemilang buat Singapura selepas pasukan veteran mereka yang diketuai oleh T. Pathmanathan menewaskan Veteran Selangor 1-0 pada perlawanan terdahulu pada kejohanan yang mula diperkenalkan pada 2001 ini.

Ini adalah kemenangan kedua Singapura selepas mengetepikan pilihan Selangor 3-0 tahun lalu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan trofi dan hadiah RM50,000 kepada Singapura manakala Selangor menerima RM10,000.

Sementara itu, gol tunggal jaringan bekas penyerang di awal 80-an, Abdullah Mohd. Nor membantu veteran Singapura menewaskan veteran Selangor 1-0.

(Mingguan Malaysia 12 Ogos 2007)