12.08.07
Singapura sapu bersih Piala Sultan Selangor
Oleh: Mohd Fadzrie Hazis, Berita Minggu
SINGAPURA hadir dan pulang ceria selepas menyapu bersih kedua-dua trofi Piala Sultan Selangor dengan rasa kepuasan dapat menewaskan musuh lama mereka, Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ia didahului dengan kemenangan 1-0 oleh Veteran Singapura ke atas Veteran Selangor sebelum Pilihan Singapura menewaskan Pilihan Selangor 3-1.
Perlawanan yang disaksikan 55,000 penonton melihat kedua-dua pasukan bermula dengan aksi menyerang dengan Pilihan Selangor memperoleh peluang seawal minit ketiga tetapi percubaan ketua pasukan, Shukor Adan dari 25 meter sedikit melepasi gawang.
Pelawat terlebih dulu mendahului menerusi pertahanan, Daniel Bennett yang tidak dikawal, menanduk sepakan sudut pemain jemputan dari Thailand, Therdsak Chaiman untuk menewaskan penjaga gol, Megat Amir Faisal minit ke-25.
Dua minit memasuki babak kedua, Pilihan Selangor yang dibarisi pasukan Selangor kecuali Nazrulerwan Makmor menyamakan kedudukan menerusi Shukor yang merembat dari jarak 25 meter.
Pilihan Singapura yang dibarisi enam pemain kebangsaan, lima bekas pemain kebangsaan dan seorang pemain Thailand yang akhirnya pulang gembira apabila meraih gol kemenangan minit ke-62 oleh Mirko Grabovac yang menolak masuk lintangan dari Mohamed Noh Rahman dari kiri.
Barisan dari seberang tambak Johor menyapu garam ke luka tuan rumah dengan gol ketiga mereka menerusi Muhammad Farizab Basri minit ke-78.
Terdahulu, dalam perlawanan pembuka tirai, Veteran Singapura mengatasi Veteran Selangor 1-0 hasil jaringan tunggal Abdullah Mohd Noor pada babak kedua.
(Mohd Fadzrie Hazis, Berita Minggu 12 Ogos 2007)