19.09.07
Adney jadi pilihan kelab UPB-MyTeam
Oleh: Kosmo
PENJAGA gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein bakal memulakan episod baru dalam kerjaya bola sepaknya.
Dia sudah mengesahkan akan meninggalkan Selangor untuk menyertai UPB-MyTeam musim depan.
Petang kelmarin, anak muda kelahiran Liverpool itu menandatangani kontrak selama dua musim bersama UPB-My Team yang akan beraksi dalam saingan Liga Super bagi musim 2007/08 setelah mereka muncul naib juara Liga Perdana musim ini.
Adney, 21, berkata, keputusan untuk meninggalkan Selangor itu dibuat atas alasan dia mahu mendapat lebih banyak peluang beraksi dalam kesebelasan utama, sesuatu yang tidak di nikmatinya musim ini.
“Sepanjang musim ini, saya hanya beraksi satu perlawanan saja iaitu ketika Selangor bertemu Johor FC selain sempat bermain dalam tiga perlawanan untuk pasukan Piala Presiden.
“Harap-harap, dengan UPB-MyTeam nanti, saya akan lebih banyak diberi kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama,” katanya ketika semalam.
Adney kini sedang mengikuti latihan pusat bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya yang bermula malam kelmarin sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Dunia bulan depan dan Sukan SEA di Korat, Thailand, Disember depan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada penyokong Selangor yang banyak menaikkan semangat saya sepanjang beraksi bersama skuad merah Kuning itu.
“Mungkin pada masa akan datang, saya akan kembali menyarung jersi Selangor,” ujarnya yang juga merupakan adik kepada pelakon, Sharifah Sofea.
Adney mula beraksi dengan skuad utama Selangor pada 17 Disember 2005 ketika Selangor menentang MPPJ di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam saingan Liga Super 2005/06.
Apabila menyertai UPB-MyTeam nanti, Adney bakal bersaing dengan penjaga gol utama pasukan berkenaan musim ini, Faizal Rashid dan akan mendapat bimbingan jurulatih penjaga gol skuad tersebut, Rashid Hassan.