Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.09.07

Elie kembali sertai Selangor?

 

Selangor mula mengorak langkah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baru.

Walaupun langkah mereka itu belum ada kepastiannya tetapi sumber skuad Merah Kuning itu menjelaskan bahawa pihak pengurusan pasukan dari Lembah Klang itu giat memancing beberapa pemain bertaraf elit untuk menyertai mereka pada musim baru ini.

"Selangor merancang untuk melamar beberapa pemain ternama dalam usaha untuk memantapkan prestasi pasukan bagi menghadapi saingan liga akan datang," jelas sumber tersebut kepada KOSMO! semalam.

Antara pemain bertaraf elit yang sudah dalam senarai mereka ialah pemain pertahanan Pahang, Norhafiz Zamani Misbah, bekas penjaga gol Terengganu, Syamsuri Mustafa dan juga penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin.

Terbaru skuad kendalian Dollah Salleh itu dilaporkan sedang berusaha untuk mendapatkan semula khidmat pemain Indonesia, Elie Aiboy.

Elie, 28, yang kini beraksi bersama kelab Indonesia, Arema Malang, dikatakan telah dikunjungi beberapa pegawai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi tujuan membawanya kembali ke kancah Liga Malaysia.

Namun, menurut sumber terdekat FAS, kata putus sama ada Elie menerima lamaran itu masih belum dapat dipastikan tetapi keputusan mengenainya dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.

"Untuk musim baru nanti, Presiden FAS (Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo) membenarkan pihak pengurusan Selangor mengambil dua pemain import.

"Salah satu daripada slot itu kini hampir pasti diisi oleh Elie Aiboy," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam.

Nama Elie bukanlah asing di kalangan peminat setia Selangor kerana dia dan rakan senegaranya Bambang Pamungkas pernah beraksi selama dua musim bersama skuad Merah Kuning pada musim 2002 dan 2005/2006.

Kehadiran semula Elie dilihat bukan saja mampu memperkuatkan jentera serangan Selangor tetapi turut dapat menarik semula kehadiran warga Indonesia untuk membanjiri Stadium Shah Alam.

Tambah sumber berkenaan, satu lagi slot pemain import pula bakal diisi seorang pemain penyerang tetapi masih belum ada kepastian sama ada pemain itu juga berasal dari Indonesia atau negara lain.

Antara nama-nama yang menjadi sebutan ialah penyerang kebangsaan Indonesia, Budi Sudarsono, 28, yang kini beraksi bersama Persik Kediri dan bekas penyerang Perak, Frank Seator, 32, yang kini beraksi bersama Sriwijaya FC.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi KOSMO! semalam enggan mengulas lanjut berhubung pengambilan pemain import skuad Selangor bagi musim depan.

"Mungkin ya mungkin tidak (ambil pemain import). Tunggulah kami akan adakan satu sidang media dalam masa terdekat ini. Mungkin dalam minggu depan," jelas Hamidin.