15.09.07
Fadzli kekal di Selangor musim depan
Oleh: Kosmo
SELANGOR bakal menghimpunkan beberapa pemain bertaraf bintang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2007/08.
Meskipun spekulasi tersebut seakan-akan menjadi kenyataan, ia tidak membimbangkan penyerang kelahiran Pahang, Mohd Fadzli Saari.
Pemain berusia 24 tahun itu tidak merasakan kedudukannya terancam kerana kontraknya dengan Selangor sudahpun disambung.
Fadzli berkata, kepercayaan pengurusan FAS untuk menggunakan khidmatnya bagi musim baru itu memberi keyakinan serta semangat baru kepadanya untuk membantu Selangor mencapai kejayaan lebih cemerlang pada musim depan.
"Terima kasih kepada FAS kerana masih percayakan kemampuan saya. Kepercayaan ini memberi semangat baru kepada saya untuk mempamerkan persembahan lebih baik berbanding musim ini," katanya kepada KOSMO! semalam.
Keputusan Fadzli untuk kekal bersama Selangor itu sekali gus menolak kemungkinan dia kembali semula beraksi dengan pasukan asalnya, Pahang musim depan setelah mula berkelanan ke Selangor penghujung 2006.
"Lagipun, musim 2007/2008 adalah musim kedua bersama Selangor. Jadi, saya akan berusaha untuk mengembalikan zaman kegemilangan Selangor yang pernah menjulang tiga piala pada musim 2005," ujarnya.
Dengan keputusan tersebut, fadzli akan terus bergandingan dengan pemain-pemain senior yang lain antaranya Akmal Rizal Rakhli, Safee Sali, Shukor Adan, D Surendran, P Gunalan dan Amri Yahyah bagi saingan musim depan.
Beberapa pemain baru dikhabarkan bakal dibawa masuk antaranya bekas penjaga gol Terengganu, Syamsuri Mustafa, dua pemain Pahang iaitu Indra Putra Mahayuddin dan Norhafiz Zamani Misbah serta dua pemain import, salah seorang daripadanya adalah pemain Indonesia, Elie Aiboy.
Kehadiran muka-muka baru itu juga menyebabkan seramai lapan pemain muda Selangor musim ini berkemungkinan menyertai pasukan PKNS bagi saingan Liga Perdana musim depan.