19.09.07
Masih belum ada bayang pemain baru
Oleh: Kosmo
Belum ada bayang pemain bertaraf bintang yang melaporkan diri pada sesi latihan pertama skuad Selangor di Stadium PKNS, malam kelmarin.
Sebelum ini, beberapa pemain berpengalaman dikhabarkan akan menjalani latihan pada sesi latihan pertama itu, namun ia tidak menjadi kenyataan.
Sebahagian peminat Selangor agak kecewa kerana hanya melihat pemain lama menyertai latihan tersebut berbanding beberapa muka baru yang dilaporkan akan turun menyertai skuad bimbingan Dollah Salleh itu.
Beberapa pemain berpengalaman termasuk bekas penjaga gol Terengganu, Syamsuri Mustafa dilaporkan akan menyertai Selangor musim baru ini.
"Tidak ada yang baru. Kita akan umumkan apabila ada senarai pemain baru yang akan turun menyertai latihan nanti," kata Dollah.
Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan ini, latihan akan dijalankan pada pukul 10.45 selepas selesai sembahyang terawih.
"Kami akan berlatih seperti biasa cuma."
Walaupun Dollah enggan mendedahkan siapa muka baru bertaraf bintang yang akan menyertai Selangor bagi mengharungi saingan musim 2007/08, namun khabar angin bertiup kencang berkenaan langkah yang sudah diambil oleh skuad dari Lembah Klang itu yang sudah memancing beberapa pemain ternama.
Menurut Dollah,jika ada pemain baru pun, mereka dijangka menyertai latihan pada Oktober atau selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Kemungkinan kita akan menyaksikan beberapa muka baru yang akan turun menyertai latihan awal Oktober ini," katanya.