20.09.07
Merah Kuning cari awang import
Oleh: Alias Abd Rani, Harian Metro
SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2007/08 masih terlalu jauh untuk diperkatakan tetapi sudah ada pasukan negeri melancar 'gerak gempur' bagi 'memikat' pemain yang dianggap terbaik menyarung jersi pasukan mereka.
Walaupun ia dianggap perkara biasa setiap musim, tetapi soal pemilihan pemain menjadi prospek utama dan terbaru, Selangor dikatakan 'kembali ke pangkal jalan' apabila mereka nekad mengambil pemain import untuk musim depan.
Bukan setakat Selangor, malah adiknya, Selangor PKNS turut dikatakan meraih tuah yang sama daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang diterajui, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
Masing-masing dikatakan menerima dua pemain import dari Indonesia selepas rombongan pasukan dengan jolokan Merah Kuning, baru-baru ini selesai dan sudah dipersetujui Dr Mohd Khir.
Sebelum ini, jurulatih pasukan berkenaan, Dollah Salleh (gambar) pernah menyuarakan hasratnya untuk mendapat khidmat pemain import selepas FAS menetapkan pasukan itu 'bersih' daripada pemain luar, musim lalu.
Bagi Dollah, kehadiran pemain import dalam pasukan memang boleh dikatakan penting tetapi di sebalik kehadiran mereka ada juga kontranya.
Ketika diajukan mengenai persoalan berkenaan, Dollah mengakui dia sudah menerima 'lampu hijau' daripada Menteri Besar, untuk mendapatkan pemain pemain import tetapi belum dipastikan lagi.
Menurutnya, berhubung pemain import negara mana masih belum diputuskan kerana kedua-duanya tertakluk kepada pengurusan FAS yang membuat keputusan mengenainya.
"Memang ada kami membuat tinjauan ke Indonesia, baru-baru ini tapi belum pasti mereka (pemain import) dipilih dari sana. Kalau dikatakan tinjauan memang sudah banyak negara kami membuatnya," katanya.
Liga M musim 2007 cukup aneh bagi skuad Merah Kuning berbanding 2005 kerana pada ketika itu mereka berjaya menjulang dua piala iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.
Tetapi selepas keputusan 'membersihkan' pemain import bermula tahun lalu, Selangor dilihat semakin tidak bermaya apabila gagal meraih sebarang piala dan hanya menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan dengan mengumpul 28 mata daripada 24 perlawanan.
Ketika itu, Selangor hanya mencatat lapan kemenangan, empat seri dan 12 kali tewas sekali gus memberikan persoalan terhadap perkembangan pasukan pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak 31 kali.