Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
20.09.07

Penyokong mahu Shahrizan kembali

Oleh: Kosmo

“AMBIL semula Shahrizan Ismail untuk menjaga gawang Selangor musim depan.

“Lagipun, kita sudah tahu kebolehannya kerana dia pernah menyarung jersi Selangor sebelum dia berhijrah ke Perlis musim lalu.”

Demikian permintaan Ketua Penyokong Bola Sepak SelangorFC.com, Amir Sharifuddin Samad, 27, mengenai ke kosongan di posisi penjaga gol bagi skuad Selangor bagi menghadapi saingan musim 2007/08.

Buat masa ini, hanya Megat Amir Faisal seorang yang mengikuti sesi latihan Selangor manakala Anis Faron Arsidi dan Zainurin Abdul Kadir sudah menyertai latihan skuad Selangor PKNS.

Seorang lagi penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein sudah menandatangani kontrak beraksi dengan UPB-MyTeam musim depan.

Bekas penjaga gol Terengganu, Syamsuri Mustafa yang dikhabarkan bakal menyertai Selangor juga tidak kelihatan selepas dua hari sesi latihan di Padang PKNS, Kelana Jaya diadakan.

Jelas Amir, kemampuan Shahrizan tidak dapat dinafikan kerana sepanjang beraksi dengan Selangor, dia sentiasa konsisten dan mempamerkan prestasi cemerlang.

“Rakan-rakan saya yang lain pun ada tanya, kenapa Selangor tak ambil semula Shahrizan. Bagi saya, kepulangan Shahrizan ke Selangor memang dialu-alukan para penyokong.

“Jadi, terpulang kepada pihak pengurusan Selangor sama ada mahu mengambilnya semula atau tidak,” katanya kepada KOSMO! semalam.

Shahrizan, 28, pernah beraksi bersama Kelantan dan TNB Kelantan sebelum dia dipinjamkan ke Selangor dalam saingan Piala Malaysia 2004.

Seterusnya, dia beraksi selama dua musim dengan Selangor sehinggalah penghujung musim 2005/06 apabila pengurusan Selangor menyingkirkan semua pemain untuk membentuk skuad bawah 23 tahun beraksi musim ini.

Sementara itu, Shahrizan ketika dihubungi KOSMO! semalam berkata, buat masa ini dia bebas untuk mewakili mana-mana pasukan selepas dilepaskan pengurusan Perlis.

“Belum pasti lagi (pasukan mana akan diwakili musim depan),” katanya yang kini bercuti bersama keluarga di kam pung halamannya di Kota Bharu, Kelantan.