14.09.07
Penyokong sokong ambil import
Oleh: Kosmo
KHABAR angin berhubung kemungkinan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mahu mengambil dua pemain import bagi saingan Liga Super 2007/08 disambut baik oleh penyokong skuad Merah Kuning itu.
Salah seorang penyokong, Nazzuan Rohaidin, 25, berkata, kehadiran pemain import memang penting dalam sesebuah pasukan kerana mereka mampu menjadikan corak permainan lebih menarik untuk ditonton.
“Memang Selangor perlukan pemain import. Lihat saja musim ini, persembahan pasukan kita hanya ala kadar dan tiada apa yang menarik,” katanya sambil berharap pemain import yang bakal diambil itu adalah seorang penyerang.
Namun, Nazzuan berharap, pemain import yang diambil FAS itu mestilah mempunyai kualiti yang tinggi dan mampu mem bantu meletakkan Selangor dalam kelompok teratas musim depan.
KOSMO! semalam melaporkan FAS dikhabarkan bakal mengambil dua pemain import, salah seorang daripadanya berkemungkinan adalah pemain dari Indonesia, Elie Aiboy, bekas pemain import mereka bagi musim 2005/06.
Bagi Erwan Ahmad, 29, pula, kehadiran pemain import sangat diperlukan bagi menarik kembali para penyokong Selangor membanjiri Stadium Shah Alam yang agak sepi sepanjang musim ini.
“Kalau betullah Elie Aiboy kembali bermain dengan Selangor, saya yakin penyokong akan kembali penuh. Lagipun, tanpa pemain import musim ini, pasukan kita sukar nak bersaing dengan pasukan lain yang rata-rata ada tenaga import,” ujar nya.
Seorang lagi penyokong, Firdaus Mutalib, 32, berpendapat, dengan kehadiran pemain import, pemain-pemain muda tempatan yang ada dalam skuad Selangor akan mendapat manfaat daripada kehadiran mereka.
“Pemain tempatan tak patut bergantung sepenuhnya dengan kehebatan import saja tetapi ambil peluang untuk belajar dan bersaing,” katanya.
Tambah Firdaus, dengan adanya pemain import, ia sedikit sebanyak dapat mengatasi masalah kekurangan pemain dalam skuad Selangor andai beberapa pemain utama dipanggil menyertai skuad kebangsaan.
Pada Musim 2006/07, Selangor beraksi dengan kudrat 100 peratus pemain tempatan setelah mendapat arahan daripada Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamed Khir Toyo untuk menggunakan khidmat pemain tempatan di bawah usia 23 tahun.
Namun, tiada sebarang kejuaraan diperoleh skuad Selangor di bawah kendalian Dollah Salleh musim ini dengan sekadar menduduki tangga kelapan Liga Super, terkandas pada pusingan separuh akhir Piala FA dan pada suku akhir Piala Malaysia.