29.09.07
Selangor 1 Felda United 0
Oleh: Hazrin Mohd Zaidun
Selangor hanya mampu menang 1-0 ke atas Felda United dalam perlawanan pra-musim kedua hasil jaringan bekas pemain Perak, R Surendran di padang PKNS malam tadi. Berbeza dengan lawan sebelumnya Proton, pasukan Felda jelas memberi saingan hebat kepada barisan Selangor.
Gandingan Fazilidin Khalid dan Razman Roslan di barisan tengah tampak kurang bermaya dan mudah dikekang oleh barisan pelawat yang mempamerkan corak permainan yang tersusun. Jika tidak kerana kecekapan Megat Amir Faisal dan juga kegopohan penyerang pelawat yang diketuai bekas pemain Selangor, Mohd Faizal Esahar, pastinya benteng Selangor telah ditembusi beberapa kali di babak pertama.
Di pertengahan separuh masa pertama, berlaku satu insiden kekasaran apabila Nasriq Baharom menjatuhkan Faizal dengan asakan keras. Faizal yang jelas tidak berpuas hati cuba melayangkan tumbukan ke atas Nasriq. Hasilnya berlaku pergelutan di antara kedua-dua pemain tersebut namun berjaya ditenteramkan oleh rakan-rakan lain.
Pengadil yang membuat keputusan untuk membiarkan perlawanan berjalan lancar tidak melayangkan kad merah kepada Nasriq dan Faizal, sebaliknya mengarahkan jurulatih kedua-dua pasukan membuat penggantian pemain.
Separuh masa kedua menyaksikan serangan lebih tersusun dari skuad Merah Kuning dengan R Surendran dan pemain gantian Asrarudin Putra Omar kerap mengancam kubu lawan. Hasilnya, satu gerakan solo dari R Surendran akhirnya memperdaya beberapa pertahanan lawan sebelum meledakkan jaringan tunggal perlawanan.
Pasukan Felda tidak berputus asa dan mempunyai beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan namun kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan.
SELANGOR (Separuh Pertama): Megat Amir Faisal, D Surendran, P Sivanathan, Nasriq Baharom (Asraruddin Putra Omar), P Gunalan, Razman Roslan, Wan Mohd Hoesne , Fazilidin Khalid, R Surendran, Akmal Rizal Rakhli, Amri Yahyah
SELANGOR (Separuh Kedua): Megat Amir Faisal, D Surendran (P Sivanathan), Abdul Ghani Rahman, Zaiza Zainal Abidin, P Gunalan, Razman Roslan (Wan Mohd Hoesne), Fazilidin Khalid, R Surendran, Asraruddin Putra Omar, Akmal Rizal Rakhli, Amri Yahyah