Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.09.07

Selangor 4 Proton 0

Oleh: Hazrin Mohd Zaidun

Selangor memulakan perlawanan pemanas badan pra-musim pertama dengan menewaskan Proton FC 4-0 di padang PKNS, Kelana Jaya malam tadi. Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Akmal Rizal, P Gunalan, Amri Yahyah dan Fadzli Saari. Perlawanan semalam turut menjadi pentas bagi skuad Merah Kuning  menguji beberapa pemain baru dan dalam penilaian seperti penjaga gol Suffian Abdul Rahman (TMFC), R Surendran (Perak) dan P Sivanathan (PDRM).

Perlawanan yang bermula pada pukul 10 malam dibahagikan kepada 3 separuh masa dan Selangor telah pun mendahului 3-0 di separuh masa pertama. Proton dilihat kurang memberi saingan yang berkesan kepada barisan Selangor yang menguasai hampir keseluruhan besar perlawanan. Walaupun begitu aksi semalam amat berguna dalam menguji kecergasan pemain setelah berehat panjang dan hanya menjalani latihan sebelah malam sejak minggu lalu.

Bagi pemain baru, Suffian yang turun di separuh masa kedua jelas tidak dicabar manakala R Surendran masih berusaha menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baru. Beliau diberi peluang beraksi di kedua-dua belah sayap sepanjang perlawanan. Persembahan Sivanathan di barisan pertahanan pula kelihatan sedikit goyah berbanding tunggak pertahanan lain yang diturunkan.

Ketua pasukan Shukor Adan, S Sritharan dan Fadzirul Zakaria tidak bermain berikutan kecederaan manakala Safiq Rahim, Safee Sali, Amirul Hadi Zainal dan Indra Putra Mahayuddin menyertai latihan skuad kebangsaan.

Perlawanan pra musim seterusnya menentang Felda United dijadualkan berlangsung pada 28 September 2007 (Jumaat) bertempat di Padang PKNS, Kelana Jaya pada pukul 10 malam.

SELANGOR:
Megat Amir Faisal (Suffian Abdul Rahman) (Fairul Azwan Shahrullail), D Surendran (Razman Roslan), P Sivanathan (Abdul Ghani Rahman), Nasriq Baharom (Zaiza Zainal Abidin), P Gunalan (Asraruddin Putra Omar), Fazilidin Khalid, Fadzli Saari, Wan Mohd Hoesne, Akmal Rizal Rakhli, R Surendran, Amri Yahyah.