Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
12.09.07

Selangor buru khidmat Zamani?

Oleh: Wan Fakhrul Bakar, Kosmo

“SEBELUM bermula latihan pusat skuad kebangsaan Isnin depan, saya akan membuat keputusan mengenai pasukan mana yang akan diwakili untuk musim depan.

“Jadi, apabila keputusan sudah dibuat nanti, dapatlah saya memberi tumpuan sepenuhnya membantu skuad kebangsaan pada pusingan Kelayakan Piala Dunia bulan depan.”

Demikian jelas pemain Pahang, Norhafiz Zamani Misbah berhubung keputusan sama ada dia akan kekal bersama skuad Tok Gajah atau beraksi bersama majikan baru bagi saingan Liga Malaysia 2007/08 yang bermula November depan.

Kecemerlangannya mengemudi benteng pertahanan skuad kebangsaan dalam saingan Pestabola Merdeka baru-baru ini menjadikan pemain berusia 26 tahun itu buruan pasukan-pasukan elit di negara ini.

“Memang saya ada menerima tawaran daripada sebuah pasukan Liga Super. Tapi, buat masa ini saya belum mem berikan kata putus. Segalanya masih belum muktamad,” jelas Zamani.

Namun, sumber terdekat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memberitahu, Zamani kini merupakan salah seorang pemain yang mahu dipancing bagi menganggotai skuad Merah Kuning bagi musim 2007/08.

Sumber berkenaan juga menjelaskan, selain Zamani, senarai awal pemain-pemain yang mahu dipancing FAS termasuklah penyerang Pahang, Indra Putra Mahayuddin, bekas penjaga gol Terengganu, Syamsuri Mustafa serta kembar dari Negeri Sembilan, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha.

Zamani yang kini berehat bersama keluarganya di Seremban, Negeri Sembilan bagaimanapun enggan mengiyakan atau menafikannya ketika ditanya berhubung spekulasi itu.

“Saya belum boleh buat keputusan lagi kerana masih menunggu kata putus dan keputusan daripada pihak pengurusan pasukan Pahang sama ada mereka masih nak saya atau tidak,” ujar Zamani.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang penglibatannya dalam skuad kebangsaan, Zamani berkata, dia sentiasa dalam keadaan bersedia andai dipanggil untuk menghadapi sesuatu kejohanan.

“Selagi mereka (pasukan kebangsaan) memerlukan khidmat saya, selagi itulah saya akan sentiasa memberikan sepenuh komitmen tak kira semasa latihan mahupun perlawanan sebenar,” ujarnya.