Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.09.07

Syamsuri berada dalam keadaan dilema

Oleh: Nurul Amalina Ramlee, Kosmo

Selangor atau Pahang. Itulah dilema yang dihadapi penjaga gol Terengganu, Mohd Syamsuri Mustafa dan Norfazly Alias.

Menurut sumber KOSMO!, bekas penjaga gol kebangsaan itu bakal menyertai Selangor manakala abang iparnya, Norfazly dilaporkan akan menyertai Pahang.

"Dia (Syamsuri) telah menerima tawaran dari Selangor dan dijangka memulakan latihan bersama skuad itu Isnin depan," kata sumber tersebut.

Sumber itu juga memberitahu bahawa bekas penjaga gol kebangsaan itu dikatakan mendapat bayaran yang lebih lumayan berbanding apa yang diterimanya ketika mewakili negeri kelahirannya sebelum ini.

Syamsuri ketika dihubungi semalam enggan mendedahkan situasi sebenar dan masih berteka-teki mengenai perpindahannya.

Katanya, dia juga sedang mempertimbangkan tawaran daripada pasukan Pahang yang telah membuat lamaran selepas dia dilepaskan oleh Terengganu bulan lepas.

"Kita tunggu dan lihat.

"Saya sedang menilai kedua-dua buah pasukan ini, segala persoalan akan terjawab pada Isnin ini iaitu hari saya memulakan latihan bersama skuad baru," ujarnya.

Norfazly pula tidak menafikan ada menerima tawaran dari pasukan tersebut tetapi setakat ini belum membuat sebarang keputusan.

Dia pemain terbabit 'dilepaskan' oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) selepas menjalani penggantungan gara-gara masalah dalaman.

Mereka telah mencetuskan kontroversi apabila disiasat oleh pengurusan Terengganu pada Mac lalu ekoran kekalahan berturut-turut yang dialami skuad Penyu dalam saingan Liga Super.

Hasil siasatan, Mohd Syamsuri digantung selama empat bulan kerana masalah disiplin manakala Norfazly direhatkan tiga bulan disebabkan prestasi yang kurang memberangsangkan.

Atas tindakan itu, Syamsuri selaku penjaga gol utama Terengganu dan Norfazly Alias mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad tersebut.