Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.09.07

Syed Adney terpaksa tukar haluan

Oleh: Berita Harian

Syed Adney Syed Hussein

POTENSI milik Syed Adney Syed Hussain tampak lebih dihargai jurulatih di pentas antarabangsa dan bukan oleh pengendali pada peringkat Liga Malaysia.

Penjaga gol tinggi lampai itu yang nyata terbukti mampu menonjol tetap gagal memikat perhatian serta kepercayaan jurulatih Selangor, Dollah Salleh yang beranggapan pemain berkenaan belum bersedia menjadi penjaga gol utama Selangor.

Ia mungkin lebih menjurus kepada musim bermasalah dialami Dollah ketika membimbing Selangor pada 2005-2006 dan mungkin penjaga gawang dinilai menjadi antara punca kemerosotan skuad merah Kuning ketika itu.

Apapun, kegagalan mendapat peluang sebagai pilihan utama memaksa pemain kelahiran Liverpool itu mencari haluan baru pada musim depan dan UPB-Myteam membuka peluang baru kepadanya untuk mempamerkan aksinya.

"Saya sedih terpaksa meninggalkan Selangor, tetapi saya terpaksa meninggalkan pasukan kesayangan saya itu demi mencapai kemajuan dalam permainan saya. Antara cara ialah saya harus mendapat lebih banyak peluang bermain.

"Saya sedar di UPB-Myteam, saya harus mencabar bekas rakan senior di Selangor, Faizal Rashid sebagai pilihan utama tetapi saya yakin dengan kemampuan saya. Ia terpulang kepada jurulatih (Bojan Hodak) sama ada menurunkan saya atau sebaliknya," kata Adney yang mengikat kontrak dua tahun bersama UPB-Myteam.

Tambahan, peluang Adney semakin cerah untuk menjadi pilihan utama skuad kebangsaan pada kelayakan Piala Dunia, berdepan Bahrain pada 21 dan 28 Oktober ini berikutan tindakan jurulatih, B Sathianathan untuk menggunakan hanya tiga pemain senior bagi memberi keutamaan kepada pemain B-23 menjelang Sukan Sea Korat, Disember ini.