Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.09.07

Zaiza mahu balas budi

Oleh: Drahman Baharun, Kosmo

Pertahanan kental Selangor, Zaiza Zainal Abidin bersyukur kerana terus diberi kepercayaan oleh Selangor untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Untuk membalas kepercayaan tersebut, Zaiza menegaskan bahawa dia tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan, serta berazam akan bekerja keras bagi membantu Selangor menjulang salah satu daripada piala pada saingan musim depan.

Sebelum ini, Selangor menggugurkan sembilan pemain muda yang kini diserapkan ke skuad Selangor PKNS.

Mereka ialah Fadhil Hashim, Abdul Hadi Yahya, Anis Faron Arsidi, Zainurin Abdul Kadir, Choi Woh Seng, Soffan Abdullah, Fazilidin Khalid, Razlan Joffri Ali dan Aizulridzwan Razali.

"Saya masih kekal bersama Selangor dan telah dimaklumkan dua minggu lepas.

"Saya akan memastikan prestasi saya berada di tahap terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama." katanya.

Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, dia akan bekerja keras meskipun terpaksa bersaing dengan pemain lain yang lebih berpengalaman.

"Dalam posisi saya, saya terpaksa bersaing dengan beberapa pemain lain seperti Nasriq Baharom, Mohd Fadzirul Zakaria dan Abdul Ghani Rahman," katanya.

Anak kepada bekas pemain lagenda Selangor, Zainal Abidin Hassan itu berharap dapat membantu Selangor menjulang salah satu piala untuk musim depan.

"Tidak kisah piala mana yang kami julang sama ada Liga Super, Piala Malaysia atau Piala FA, apa yang penting kami dapat memenanginya musim depan."